Tak perlu mekap, Dewi Sandra teruja sumbang suara dalam filem animasi Nussa


  • Hiburan
  • Sabtu, 09 Okt 2021

Dewi Sandra berkata, dirinya kini lebih selesa menjalani kerjaya alih suara jika dibandingkan dengan menjadi seorang pelakon. — Agensi.
AKTRES Dewi Sandra kini melebarkan sayap kerjaya seninya dengan menceburi tugasan alih suara menerusi filem animasi bertajuk Nussa.

Dewi Sandra yang juga penyanyi mengakui sangat gembira kerana diberikan peluang terlibat dalam projek tersebut, apatah lagi baginya filem animasi itu mengetengahkan kisah yang positif dan mendidik penontonnya.

"MasyaAllah, ini adalah pengalaman yang sangat baik. Jalan ceritanya sangat positif," katanya kepada media ketika menghadiri tayangan perdana filem Nussa baru-baru ini.

Pada masa sama, Dewi Sandra berkata, dirinya kini lebih selesa menjalani kerjaya alih suara jika dibandingkan dengan menjadi seorang pelakon.

"Saya tidak perlu buang masa dua jam untuk bersolek dan bersiap... berbeza dengan kerjaya alih suara ini, saya cuma perlu bersedia suara untuk menghayati watak.

"Alhamdulillah, watak Tante Dewi sangat sesuai dengan saya dan saya betul-betul menikmatinya," katanya.

Filem animasi Nussa yang akan mula ditayangkan di pawagam mulai 14 Oktober 2021 ini mengisahkan tentang seorang kanak-kanak bernama Nussa dan keluarganya yang terdiri dari Umma, Abba, dan adiknya Rara.

Selain Dewi Sandra, filem ini turut dibintangi oleh Muzakki Ramdhan yang mengalih suara watak Nussa serta barisan pelakon lain seperti Maudy Koesnaedi, Asri Welas, Raisa, Alex Abbad, Malka Hayfa, Widuri Puteri, Ali Fikry, Ocean Fajar dan Fenita Arie. — Agensi