KJ jumpa Muhyiddin minggu depan, bincang tawaran sertai Bersatu


  • Politik
  • Sabtu, 10 Jun 2023

Khairy Jamaluddin (kiri) dijangka bertemu Muhyiddin (kanan) pada minggu hadapan.

BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada minggu hadapan dipercayai untuk membincangkan kemungkinan beliau menyertai parti itu.

Perkara itu dimaklumkan bekas Ahli Parlimen Rembau itu menerusi episod terbaharu podcast bertajuk podcast 'Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan' yang disiarkan pada Jumaat.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai mesyuarat tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuannya dengan ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein baru-baru ini, Khairy Jamaluddin menegaskan perjumpaan itu bukan atas dasar politik dan mereka juga tidak membincangkan sebarang konspirasi tertentu.

"Saya sudah lama mengenali Hishammuddin. Saya menyertai politik melalui beliau kerana beliaulah yang membawa saya ke dalam Umno.

"Waktu itu beliau sebagai Ketua Pemuda dan saya sebagai graduan muda dan beliaulah yang masukkan saya dalam Umno.

"Memang tiada komplot, langkah tertentu atau sebagainya. Kita cuma tanya keadaan masing-masing. Untuk ketika ini, tiada apa-apa perancangan untuk politik, dan saya telah maklumkan kepada Hisham, saya akan jumpa Tan Sri Muhyiddin minggu depan untuk beri jawapan muktamad," katanya.

Tambah bekas Menteri Kesihatan itu, beliau sendiri memberitahu Hishammuddin mengenai pertemuannya dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berhubung keputusan sama ada akan menyertai Bersatu atau tidak.

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan bersedia menawarkan jawatan majlis tertinggi Bersatu kepada Khairy Jamaluddin sekiranya beliau berhasrat untuk menyertai parti itu.

Menurutnya, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy Jamaluddin selepas beliau dipecat daripada Umno pada Januari lalu.

Beliau dilihat mampu memberi sumbangan dalam mengukuhkan lagi kedudukan Bersatu, ditambah ketokohannya sebagai pemimpin politik muda. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram