Selain Azmin, 3 nama berpotensi jadi 'poster boy' PN di Selangor


  • Politik
  • Ahad, 28 Mei 2023

Dari kiri: Radzi, Ahmad Yunus dan Khairy menjadi antara nama yang dibangkitkan berpotensi untuk menjadi calon MB PN di Selangor.

SELEPAS merekodkan pencapaian menyakinkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu, Perikatan Nasional (PN) kini mula dilihat sebagai antara kuasa utama di dalam politik Malaysia.

Prestasi ditunjukkan itu ternyata mengejutkan ramai pihak termasuk pemerhati politik negara memandangkan gabungan itu baru sahaja dibentuk.

Dengan menekankan imej imej bersih dan berintegriti, PN kini menjadi menjadi parti pilihan utama pengundi khususnya bagi kelompok Melayu.

Dalam menarik sokongan daripada pengundi Melayu, PN kini dilihat berada di kedudukan pertama diikuti Pakatan Harapan (PH) di tempat kedua.

Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini menjadi harapan pengundi Melayu kini merosot menjadi pilihan ketiga pengundi kelompok tersebut jika dilihatkan kepada keputusan PRU15 lalu.

WhatsApp Image 2023-05-28 at 19.49.56

Mohamed Azmin masih berteka-teki mengenai kemungkinan penyertaannya pada PRN Selangor kali ini.

Menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini, PN dijangka meneruskan momentum tersebut khususnya di tiga negeri di mana gabungan itu menjadi kerajaan iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Dalam pada itu, negeri lain yang turut menjadi sasaran gabungan tersebut yang terdiri daripada dua parti utama iaitu PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRN kali ini ialah Selangor.

Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir berkata, gabungan itu menyasarkan untuk memenangi 33 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada PRN kali ini bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan.

Beliau berkata, keyakinan itu berasaskan kepada keputusan PRU15 lalu yang menyaksikan PN berjaya memenangi enam kerusi Parlimen termasuk di kubu kuat BN di Sabak Bernam dan Tanjong Karang.

Bagaimanapun, menjelang tidak tinggal beberapa bulan sebelum PRN diadakan, gabungan itu ketika ini dilihat masih belum memutuskan mengenai individu bakal dipilih sebagai calon menteri besar jika PN berjaya merampas negeri tersebut daripada Pakatan Harapan (PH).

Teka-teki mengenai perkara itu berlarutan dipercayai berlaku akibat daripada keputusan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohammed Azmin Ali yang untuk bersara daripada politik pada awal tahun ini.

Ini kerana bekas Menteri Besar Selangor itu dilihat merupakan pilihan utama kepimpinan gabungan itu untuk dijadikan sebagai poster boy bagi memimpin usaha menawan negeri tersebut.

Dengan bekas Ahli Parlimen Gombak itu ketika ini dilihat masih tidak memberi kepastian berhubung pendiriannya, Majoriti menggariskan tiga nama lain berpotensi menjadi calon poster boy PN pada PRN kali ini:

1. Radzi Jidin

WhatsApp Image 2023-05-28 at 19.46.45 (1)'

Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan bahawa Majlis Tertinggi PN memutuskan bahawa menteri besar Selangor akan dipilih daripada partinya.

Dengan mengambil kira hierarki parti, Datuk Dr Radzi Jidin yang memegang jawatan Naib Presiden Bersatu sememangnya dilihat menjadi pilihan utama sekiranya Mohamed Azmin kekal dengan pendiriannya.

Dalam pada itu, kemungkinan itu diperkuatkan lagi apabila beliau dilantik sebagai penyelaras pilihan raya di negeri tersebut.

Radzi sebelum ini sudah pun membuktikan keupayaannya apabila berjaya membuat kejutan menewaskan nama besar daripada Umno, Tengku Adnan Mansor bagi menawan Parlimen Putrajaya.

Tengku Adnan sebelum itu menduduki kerusi tersebut selama empat penggal berturut-turut sejak ia mula dipertandingkan pada 2004.

Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan yang berpengaruh sebagai Menteri Kanan dan Menteri Pendidikan dalam dua kerajaan sebelum ini.

Imejnya sebagai pemimpin yang memiliki latar belakang profesional pastinya mampu menjadi daya penarik kepada pengundi di Selangor.

2. Ahmad Yunus Hairi

WhatsApp Image 2023-05-28 at 19.46.46

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi. — Bernama

Sejak 2008, Pas berjaya meletakkan diri sebagai antara kuasa politik yang perlu diberikan perhatian dalam politik di negeri Selangor.

Kejayaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menguasai Selangor pada ketika itu antara lain disumbang oleh PAS yang memenangi jumlah kerusi agak signifikan pada PRU 2008 dan 2013 iaitu masing-masing 15 dan 18 kerusi.

Kejayaan PN untuk menembusi kubu kuat PH di beberapa kerusi Parlimen di negeri tersebut pada PRU15 tahun lepas membuktikan parti itu masih mempunyai pengaruh yang agak kuat di beberapa kawasan.

Disebabkan itu, adalah tidak pelik sekiranya calon menteri besar turut dipilih dalam kalangan pemimpin PAS sekiranya parti itu mampu memenangi jumlah kerusi yang agak banyak.

Sekiranya langkah tersebut diambil, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dilihat merupakan calon yang sesuai untuk menggalas tanggungjawab.

Di peringkat negeri, beliau pernah menjawat beberapa jawatan exco ketika Pas menjadi sebahagian kerajaan negeri Selangor.

Antara portfolio yang disandang ialah Pengerusi Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Istiadat Melayu, Belia dan Sukan.

Dalam pada itu, beliau menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam pilihan raya apabila berjaya menngekalkan kerusi DUN Sijangkang tiga penggal berturut-turut sejak 2008.

Dalam pada itu, beliau juga berjaya membuat kejutan pada PRU15 apabila berjaya menawan kerusi Parlimen Kuala Langat yang disandang PKR sejak 2008.

Dalam pilihan raya tersebut, Ahmad Yunus mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) Manivanan Gowindasamy dengan majoriti 1,833 undi.

3. Khairy Jamaluddin Abu Bakar

WhatsApp Image 2023-05-28 at 19.46.45

Khairy ketika menjadi Menteri Kesihatan dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau KJ merupakan nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam politik.

Sebagai pemimpin, beliau sememangnya mempunyai kekuatan yang tersendiri untuk menarik sokongan pengundi.

Disebabkan itu, adalah tidak pelik apabila nama beliau disebut-sebut sebagai bakal calon menteri besar yang bakal ditampilkan oleh PN pada PRN kali ini.

Ini selepas terdapat desas-desus mengatakan bahawa bekas Ketua Pemuda Umno itu bakal bertanding pada PRN kali ini selepas dipecat daripada Umno Januari lalu.

Bersatu merupakan antara pihak yang secara terbuka bekas Ahli Parlimen Rembau itu untuk menyertai parti berkenaan.

Namun begitu, KJ setakat ini masih belum memberikan kata putus berkenaan pelawaan tersebut.

Sebagai pemimpin yang pernah memegang beberapa portfolio utama di peringkat persekutuan termasuk Menteri Kesihatan, kredibilitinya untuk memikul tanggungjawab menteri besar sememangnya tidak dapat dinafikan.

Malah keupayaannya memberikan cabaran sengit di kerusi kubu kuat PH di Parlimen Sungai Buloh pada PRU15 juga membuktikan beliau mempunyai populariti yang agak baik dalam kalangan pengundi di Selangor.

Meskipun baru pertama kali bertanding di Selangor, KJ berjaya mengurangkan jumlah majoriti calon PH daripada 26,634 undi pada PRU15 kepada hanya 2,693 undi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram