Muhyiddin juga sedia kerjasama dengan Tun M perjuang nasib orang Melayu, Islam


  • Politik
  • Jumaat, 02 Jun 2023

Muhyiddin (kiri) dan Dr Mahathir pernah bersama-sama di bawah Bersatu yang membentuk kerajaan PH selepas PRU14 lalu. — Reuters

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad demi memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.

Kenyataan itu dikeluarkan hanya selepas sehari Dr Mahathir secara terbuka membuat pengakuan untuk kembali bekerjasama dengan Ahli Parlimen Pagoh itu selepas kedua-dua pemimpin itu bermusuhan selama kira-kira tiga tahun.

"Saya menyambut baik kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersedia bekerjasama dengan saya demi matlamat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.

"Saya sedar perkembangan politik mutakhir ini meletakkan umat Melayu dan Islam di negara ini di suatu persimpangan yang getir.

"Maka sebagai seorang Muslim, saya secara peribadi bersedia untuk bekerjasama dengan semua tokoh Melayu dan Islam termasuk Tun Dr Mahathir demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Dalam temu bual terbaharunya yang disiarkan pada Khamis, Dr Mahathir dilaporkan sedia bekerjasama dengan Muhyiddin jika persetujuan boleh dicapai atas matlamat bersama, iaitu memperjuangkan perjuangan Melayu dan menolak mereka terlibat dalam rasuah dan salah laku jenayah.

Sebelum ini, Dr Mahathir pernah bekerjasama dengan Muhyiddin ketika menjadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga berjaya menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketika itu, Bersatu merupakan parti di di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH) dengan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Langkawai itu kemudiannya bertindak meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu selepas berlakunya Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Dr Mahathir yang juga pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali itu juga dipecat daripada parti terbabit tiga bulan kemudian kerana tidak menyokong kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang kini memegang jawatan sebagai Presiden Bersatu.

Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2021 selepas kehilangan majoriti di Parlimen. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram