MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa membenarkan permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank parti bagi tujuan siasatan dan larangan perjalanan oleh Jabatan Imigresen terhadap Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Mohd Shahid memutuskan bahawa pemohon telah melepasi keperluan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman dan terdapat isu yang boleh dibicarakan berhubung perintah pembekuan yang dipertikaikan dan larangan perjalanan.
"Isu-isu yang boleh dibicarakan ini mewajarkan hujahan lanjut oleh pihak-pihak di peringkat substantif dan tidak boleh dihapuskan oleh mahkamah pada peringkat ini,” katanya.
Hakim juga berkata, permohonan Bersatu untuk memulakan semakan kehakiman adalah tidak remeh dan tidak menyusahkan.
"Saya berpandangan bahawa permohonan itu boleh diterima oleh semakan kehakiman dan sewajarnya kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman adalah dengan ini dibenarkan,” kata Hakim Ahmad Kamal. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,