'Orang ambil lawak itu terlalu serius', Jocelyn Chia nyahaktif Instagram selepas pertahan jenaka hina tragedi M370


  • Tular
  • Khamis, 08 Jun 2023

Tangkap layar video persembahan Jocelyn yang menjadikan tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai jenaka.

"GEEZ, people take jokes way too seriously."

Itu reaksi pelawak Singapura, Jocelyn Chia yang membidas komen-komen warganet di Instagram berkenaan jenaka menghina tragedi kehilangan pesawat MH370 yang tular pada Rabu.

Jocelyn menerusi akaun Instagram @chiacomedy terus mempertahankan dirinya berkenaan lawak yang dibuatnya tanpa menghiraukan komen-komen daripada warganet yang tersinggung dengan kata-katanya.

Tidak cukup dengan itu, dia turut meminta warganet untuk menambah baik jenakanya jika ia tidak kelakar bagi mereka.

"Kalau awak boleh buat ia (jenaka) lebih kelakar, silakan. Itu kriteria untuk (hasilkan) komedi," katanya dalam satu komen kepada warganet di Instagram pada Khamis.

Setelah mendapat banyak kecaman daripada warganet berkenaan kandungan videonya serta komen-komen yang terus menyinggung perasaan banyak pihak, Majoriti mendapati akaun Instagram wanita berkenaan sudah dipadam.

WhatsApp Image 2023-06-08 at 1.40.28 PM

Akaun Instagram Jocelyn telah dipadamkan pada Khamis selepas menerima banyak laporan negatif berkenaan kandungan videonya.

Dalam pada itu, Jocelyn yang menghina Malaysia menerusi lawak jenaka dalam sebuah persembahan komedi berdiri kini disahkan bukan lagi warganegara negara itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon pada Rabu.

Katanya, kerajaan Singapura turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas tindakan melampau pelawak berkenaan, malah terkejut dengan sketsa komedi Jocelyn yang menyinggung ramai pihak terutamanya rakyat Malaysia.

“Kerajaan Singapura tidak boleh menerima sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetus kemudaratan atau menyinggung perasaan orang lain dan Chia, yang bukan lagi warganegara Singapura, sama sekali tidak mencerminkan pandangan kami.

“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas komen-komen menyakitkan daripadanya,” katanya.

Majoriti pada Rabu melaporkan, Jocelyn membuat sketsa komedi berupa penghinaan terhadap negara Malaysia apabila beberapa kali membangkitkan isu perkauman serta membandingkan kemajuan yang dimiliki antara kedua-dua negara terbabit.

Satu video berdurasi 1 minit 29 saat yang tular di media sosial memaparkan tindakan individu berkenaan dilihat sengaja mempersendakan Malaysia.

Antara isu yang dibangkitkan sebagai bahan jenaka dalam persembahan itu adalah berkenaan kemajuan ekonomi Malaysia yang dikatakan lebih rendah berbanding Singapura yang diiktiraf sebagai negara membangun di mata dunia.

Selain itu, Jocelyn turut memetik beberapa isu hangat berkaitan tragedi kehilangan pesawat MH370 yang berlaku pada 2014. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram