PENYANYI legenda, Tinar Turner meninggal dunia pada usia 83 tahun di kediamannya di Küsnach, Switzerland.
Berita kematian tersebut diumumkan wakilnya pada Rabu.
"Dunia kehilangan legenda muzik dan suri teladan," kata wakil tersebut dalam kenyataan mengumumkan mengenai pemergian penyanyi berkenaan.
Susulan daripada itu, media tidak menunggu lama untuk mengungkap kembali hasrat dilontarkan Tina dalam satu temu bual dipercayai merupakan kenyataan terakhirnya kepada umum kira-kira enam minggu lalu.
Pada 9 April lalu, beliau memberitahu The Guardian tentang bagaimana dirinya berharap dunia akan mengingatinya.
Tina turut berkata, beliau tidak lagi takut untuk menghadapi kematian.
"Bagaimanakah anda ingin diingati?" soal Guardian.
Tina berkata: "Sebagai Ratu Rock 'n' Roll. Sebagai seorang wanita yang menunjukkan kepada wanita lain bahawa tidak mengapa untuk berusaha bagi berjaya dengan cara mereka sendiri.'"
Ditanya apa perkara yang menakutkannya ketika melalui usia yang semakin tua, beliau menjawab: 'Tiada apa-apa. Ini adalah kehidupan yang penuh dengan penggembaraan dan saya menerima dan terus menerima setiap hari dengan apa yang ia bawa.'
Turner meninggalkan seorang suami iaitu Erwin Bach, 67 tahun dan dua anak lelakinya.
Pasangan itu berkahwin pada 2013 selepas berkenalan selama hampir 30 tahun.
Tina (kanan) dan Mick ketika berkongsi pentas semasa di kemuncak karier masing-masing. — Agensi
Antara yang pertama memberikan penghormatan pada Rabu ialah vokalis kumpulan rock terkenal dunia, The Rolling Stone iaitu Mick Jagger yang turut pernah berkongsi pentas bersama mendiang.
"Saya sangat sedih dengan pemergian rakan baik saya Tina Turner. Dia benar-benar seorang penghibur dan penyanyi yang sangat berbakat.
"Dia adalah individu yang memberi inspirasi, mesra, lucu dan murah hati. Dia banyak membantu saya ketika saya masih muda dan saya tidak akan melupakannya," tulis Mick.
Dilahirkan dengan nama Anna-Mae Bullock pada tahun 1939 di Brownsville, Tennessee, Amerika Syarikat (AS) Turner melalui zaman kanak-kanak yang bergelora dan turut berhadapan dengan keganasan rumah tangga sebelum berjaya menjadi penyanyi terkenal.
Menjelang awal 80-an, beliau mula menjadi pengaruh yang tersendiri dan mampu berdiri setanding dalam kalangan bintang rock yang paling dihormati di dunia.
Persembahan bersama Mick Jagger dan David Bowie terus memuncakkan kejayaannya dan dia segera diraikan dengan anugerah dan bintang di Hollywood Walk of Fame.
Sepanjang kerjayanya, Tina memenangi lapan Anugerah Grammy daripada 25 pencalonan dan tiga Anugerah Grammy bagi pencapaian seumur hidup.
Konsert stadium terakhirnya adalah di Sheffield, England pada 2009.
Dalam tahun-tahun akhir kehidupannya, beliau hidup dengan tenang bersama suaminya di kediamannya di Switzerland.
Walaupun punca sebenar kematiannya belum dimaklumkan, beliau sememangnya diketahui bergelut dengan beberapa masalah kesihatan.
Suaminya Erwin dilapor mendermakan salah satu buah pinggangnya kepada Tina pada 2017 selepas penyanyi itu mengalami kegagalan buah pinggang kronik selain diagnosis menghidap kanser. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram