PENAMPILAN penyanyi popular Indonesia, Datuk Rossa sememangnya sentiasa ditunggu-tunggu oleh peminat setianya di Malaysia.
Meskipun baru sahaja menjayakan konsert ulang tahun ke-25 kariernya sebagai penghibur di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada November tahun lalu, penyanyi dengan nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyan itu tidak menunggu lama untuk kembali ke Malaysia.
Ia selepas beliau yang popular dengan lagu Pudar itu akan tampil dalam satu lagi konsert solonya iaitu Another Journey: The Beginning yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Julai depan.
Penampilan keduanya di dalam negara selepas tempoh pandemik itu ternyata mendapat sambutan di luar jangkaan apabila kesemua tiket untuk konsert tersebut habis terjual dalam masa 24 jam.
Akur dengan permintaan ramai, penganjur yang enggan menghampakan peminat diva tersohor Indonesia itu membuat keputusan untuk menambah satu lagi malam konsert iaitu pada 13 Julai depan.
"Banyak faktor perlu dipertimbangkan sebelum menambah satu lagi malam persembahan, termasuk kekosongan lokasi, penyanyi undangan, pemuzik dan pasukan produksi.
Rossa berkata, konsert kali ini agak istimewa kerana tidak hanya membawa peminat menelusuri perjalanan 25 tahun kerjaya muziknya, malah memperkenalkan lagu terbaru daripada album yang dilancarkan Februari lalu.
"Kami bersyukur kerana impian itu dapat direalisasikan pada 13 Julai depan, sekali gus memberi ruang kepada peminat Rossa untuk bersama-sama berhibur," kata Pengarah Projek Dream Collaboration, Rama Ananda Ambri.
Konsert Another Journey: The Beginning merupakan siri persembahan ketiga dalam rangka Dream Festival Collaboration, selepas meraih kejayaan luar biasa daripada konsert pertama menampilkan Nidji dan Budi Doremi, disusuli Wali Band bersama Floor 88 dalam siri Dream Festival Collaboration Vol. 2.
Mengulas mengenai sambutan luar biasa peminat terhadap konsert Another Journey: The Beginning, Rossa, 44, menyatakan rasa terharunya terhadap sambutan diberikan peminat.
Enggan menghampakan harapan peminat, beliau turut melahirkan kesediaan untuk menambah hari persembahannya sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas sokongan luar biasa diberikan itu.
Menurut Rossa, konsert kali ini agak istimewa kerana tidak hanya membawa peminat menelusuri perjalanan 25 tahun kerjaya muziknya, malah turut memperkenalkan lagu terbaru daripada album dengan judul sama dilancarkan pada Februari lalu.
"Album ini merangkumkan pelbagai emosi dan turun naik saya sebagai manusia sepanjang dunia berdepan pandemik Covid-19.
"Jika ingin tahu apa yang saya lalui sepanjang dua tahun yang menguji itu, datanglah ke konsert Another Journey: The Beginning pada 13 dan 14 Julai nanti," katanya.
Konsert tersebut itu turut menyaksikan Rossa bakal bergandingan dengan penyanyi muda, Rizky Febian pada 13 Julai dan Mahalini Raharja (14 Julai), selain turut memperkenalkan bakat baharu, Zareef Sein.
Mahilini yang sedang popular dengan lagu Sial turut memberikan sentuhannya menerusi lagu Lupakan Cinta yang dimuatkan dalam album Another Journey: The Beginning.
"Untuk kali pertama sepanjang 25 tahun berkarier, saya mengundang beberapa komposer muda berbakat besar untuk bekerjasama dalam pembikinan album ini.
"Ternyata, mereka sangat hebat dan Mahalini antara komposer serta penyanyi muda yang bakatnya sangat luar biasa. Lebih bermakna apabila Mahalini bersedia untuk menjadi sebahagian daripada konsert itu nanti.
"Kemunculan Mahalini, Rizky dan Zareef membuktikan industri muzik tidak ketandusan bakat baharu yang bakal membanggakan Malaysia dan Indonesia. Pastinya akan ada kejutan daripada kami nanti," katanya.
Siri konsert Dream Collaboration dibawakan Inspire.IDN dan disokong oleh HotBox, Chatime, VGI dan Zepp Kuala Lumpur.
Tiket untuk persembahan 13 Julai berharga RM178, RM198, RM388, RM508, RM688 dan RM8,888 (Royal Box) boleh diperoleh menerusi pautan: ticket2u.com.my pada 26 Mei ini, bermula jam 3 petang atau hubungi talian: 016-703 0512 (Inspire). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram