"MASYA-ALLAH, tak tergambar (perasaan) saya, tak terkata betapa indah nikmat usaha, sepanjang perjalanan menitis air mata saya.
Demikian luahan, seorang lelaki kudung yang berjaya menjejakkan kaki ke Makkah pada Khamis selepas memulakan misi berjalan kaki dari Bidor, Perak pada April lalu.
Peristiwa yang mengharukan itu dimuat naik menerusi akaun TikTok @herrynizam4 pada Khamis waktu Malaysia memaparkan Herrynizam Saleh, 42, berjalan di tanah suci dan menunjukkan kawasan sekitarnya.
Dalam pada itu, seorang pengguna TikTok @JalilRazak turut berkongsi video memaparkan Herrynizam melaksanakan tahallul (memotong rambut) sebagai tanda selesai menunaikan umrah.
"Assalamualaikum semua, dia (Herrynizam) dah tahallul, maksudnya umrahnya dah selesai.
"Aku saksi dalam dunia ini, umrah abang ini (Herrynizam) dah selesai," katanya dalam video berkenaan.
Dalam video sama, Herrynizam yang tidak dapat menahan sebak turut mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang membantu merealisasikan impiannya untuk sampai ke Makkah.
"Apa pun kita nak buat, kita kena yakin ALLAH itu maha mengetahui segala-galanya," katanya.
Dalam video pada Rabu, Herrynizam memaklumkan dia menerima tajaan berupa tiket penerbangan dari Dubai ke Jeddah daripada seorang individu yang ditemuinya.
"Assalamualaikum semua. Saya sekarang ini berada di Dubai. Iya nak jalan, tetapi orang dari Jeddah taja tiket sampai ke Jeddah.
"Jadi saya kena terima. Ini semuanya datang dari ALLAH SWT bukan kehendak saya," katanya.
Majoriti pada April lalu melaporkan misi berjalan kaki yang dilaksanakan oleh Herrynizam bermula dari Bidor, Perak dan merentas 12 negara negara melalui jalan darat bermula dengan Thailand sehingga ke Arab Saudi.
Berdasarkan peta perjalanan di aplikasi Google Map yang dikongsikan, dia sepatutnya menempuh perjalanan berjalan kaki sejauh lebih 10,000 kilometer untuk tiba ke Tanah Suci. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram