RASA sayu menyelubungi sebuah keluarga di FELCRA Changkat Lada Fasa 1, Kampung Gajah, Perak apabila rumah pusaka berusia hampir 43 tahun hangus dijilat api pada petang Ahad.
Khabar duka tersebut dikongsikan oleh Nurul Ainabila Shuhaimi, 32, yang ketika itu berada di rumahnya di Kampung Telok, Kampung Gajah, Perak pada saat kebakaran tersebut berlaku kira-kira pukul 7.20 petang.
Dia ketika dihubungi Majoriti dimaklumkan oleh jirannya tentang tragedi terbabit yang pada awalnya disangka hanyalah sampah yang dibakar sekitar arwah rumah neneknya itu.
"Ada jiran nampak api dekat belakang rumah opah (nenek), jiran ingatkan ada orang bakar sampah.
"Lama-lama api makin marak, jadi jiran panggil lima buah rumah (keluarga) yang lain," katanya pada Isnin.
Dalam pada itu, Nurul Ainabila berkata, kali terakhir mereka sekeluarga berkumpul di rumah tersebut adalah tiga tahun lalu semasa arwah neneknya meninggal dunia.
Katanya, kini hanya bapa saudaranya sahaja yang tinggal di rumah tersebut, dan terselamat daripada kebakaran tersebut kerana ketika itu dia keluar untuk mencari makanan.
"Semoga ada pihak yang sudi membantu untuk dirikan semula rumah pusaka ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Pegawai Pusat Gerakan Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Faisal Mohd Izham Mohd Faisal Mohd Izham berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadia tersebut pada pukul 7.51 petang pada Ahad dan bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas B terbakar 85 peratus, termasuk tiga motosikal yang masing-masing musnah 80 peratus.
"Anggota bomba menggunakan dua aliran 200 kaki empat pancutan bersumberkan air dari tangki jentera sehingga kebakaran dipadamkan sepenuhnya.
"Kerja pemadaman api berlaku selama sejam dan operasi tamat pada pukul 9.26 malam," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram