SECARA umum, laman web Myhealth menjelaskan PCOS atau Sindrom Ovari Polisistik merupakan keadaan tertentu yang memberi kesan kepada kitaran haid, kesuburan dan bentuk fizikal seseorang wanita.
Penghidap PCOS turut mempunyai paras hormon lelaki (androgen) yang tinggi sekali gus menyebabkan penghasilan hirsutism iaitu keadaan pertumbuhan rambut pada muka dan badan wanita.
Dianggarkan PCOS melibatkan 5 hingga 10 peratus wanita dalam usia reproduktif mereka.
Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Sharmina Kamal Shamsul Kamal berkata, remaja perempuan yang belum pernah datang haid ketika berumur 16 tahun perlu menjalani pemeriksana PCOS.
"Mereka yang mengalami masalah kitaran haid atau berlaku perubahan (kelewatan daripada tarikh haid yang sebelumnya) juga perlu berbuat demikian.
"Salain simptom-simptom lain PCOS yang ada pada orang dewasa, perkara sama turut boleh berlaku kepada remaja seperti obesiti, pertumbuhan bulu di muka, jerawat, kulit gelap (hyperpigmentasi/acanthosis nigricans) belakang leher atau kencing manis," katanya kepada Majoriti.
Memiliki bulu pada bahagian muka antara tanda-tanda wanita tersebut mengalami PCOS.
Sekiranya disahkan mengalami PCOS, individu terbabit perlu memastikan berat badan mereka berada pada tahap ideal kerana dikhuatiri berdepan dengan risiko kencing manis.
Disebabkan itu sebaiknya amalkan pengambilan makanan seimbang, kurangkan makanan manis, melakukan aktiviti fizikal, dapatkan tidur yang cukup dan kurangkan stress.
"Dari segi hormon, PCOS tidak akan mengganggu warga emas kerana sudah menopaus. Jadi sememangnya hormon estrogen sudah berkurangan.
"Walau bagaimanapun, jika mengalami PCOS semasa muda dan tidak cuba untuk mengawalnya, individu akan berdepan dengan risiko kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung.
"Mereka yang mengalami PCOS juga akan menambahkan risiko untuk menghidap kanser andometrium iaitu sejenis kanser rahim," jelasnya.
Peka sekiranya terdapat sebarang perubahan pada badan sekiranya kitaran haid tidak terutur.
Dalam pada itu, PCOS turut terkait dengan situasi kesuburan. Perkara itu akan memberi kesan jika kitaran hormon kurang stabil sehingga mengakibatkan kitaran haid tidak teratur.
"Jika ovulasi (ovari mengeluarkan telur atau ovum) tidak berlaku, fertilisation (persenyawaan) tidak akan berlaku.
"Kurangkan berat badan, senaman, rehat yang cukup dan kurangkan stress antara yang dapat membantu. Sekiranya berdepan dengan masalah kesuburan, cuba dapatkan nasihat mahupun rawatan berkaitan hal itu dengan segera," ujarnya.
Secara kesimpulannya, pemilihan gaya hidup seperti mengekalkan berat badan, makan makanan seimbang dan meluangkan masa melakukan senaman dapat mengurangkan paras hormon lelaki (androgen) kepada wanita.
Oleh itu, luangkan masa untuk melakukan ujian saringan kesihatan secara berkala agar dapat mengenal pasti sebarang penyakit pada peringkat awal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram