Memartabatkan kesenian negara, BOH iktiraf perjuangan 30 penggiat seni


  • Hiburan
  • Khamis, 18 Mei 2023

BOH Plantations Sdn Bhd menghargai kesungguhan dan usaha penggiat seni dalam memartabatkan kesenian teater.

ANUGERAH Seni Cameronian ke-18 (18BCAA) menyampaikan 30 anugerah dan hadiah wang tunai sekitar RM44,000 kepada penggiat seni tempatan dalam pelbagai bidang seperti tarian, muzik dan teater muzikal.

Acara anugerah yang berlangsung di Pentas 1 Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya, Selangor (PJ PAC) disampaikan oleh BOH Plantations dan Kakiseni dengan gabungan firma perakaunan BDO Malaysia sebagai rakan pengundian.

Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations Sdn Bhd, Jason Foo, berkata, pihaknya sentiasa menghargai pengiat seni yang bertungkus lumus memperjuangkan industri seni persembahan tanah air.

“Anugerah Seni BOH Cameronian pertama kali dilancarkan pada 2002 sentiasa meraikan bakat, sumbangan kecemerlangan inspirasi dalam industri seni.

“Penganjuran tahun ini memberi fokus kepada bukti kekuatan kepada kemahuan jiwa manusia yang sentiasa bersemangat serta tabah lebih-lebih lagi kepada melalui fasa pandemik Covid-19,” jelasnya.

ST1_2843

Datuk Mohd Baharim Mohd Sharip menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kakiseni, Low Ngai Yuen memberitahu, tema Hari Baharu, Setia Pada Senimu merupakan cerminan terhadap semangat komuniti seni persembahan.

“Anugerah ini juga merupakan simbol kepada kebangkitan seni sekali gus menarik pengunjung kembali menyaksikan persembahan teater.

“Perbagai kisah boleh diketengahkan untuk ‘dikupas’ dalam persembahan bagi menyokong kesejahteraan masyarakat,” jelasnya.

Dalam pada itu, acara 18BCAA secara tidak langsung menjadi pembakar semangat kepada barisan pemain seni untuk kembali berkarya setelah berdepan dengan beberapa kekangan ekoran virus Covid-19.

Sebanyak 30 kategori dipertandingkan melibatkan tarian, muzik, teater muzikal dan teater.

Setiap pemenang menerima trofi Anugerah Seni BOH Cameronian dan wang tunai RM1,000 manakala setiap pemenang Anugerah Seni Terbaik membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000.

Sementara itu Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat BOH Cameronian diberikan kepada seniman veteran, Datuk Mohd Baharim Mohd Sharip, 78, yang memartabatkan kesenian Dondang Sayang.

ST6_7597

Jason Foo memberikan ucapan di acara 18BCAA.

Dondang Sayang tersenarai sebagai khazanah warisan budaya oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Dondang Sayang merupakan persembahan nyanyian yang dipersembahkan oleh masyarakat Melayu, Baba Nyonya, Cheti dan Portugis.

Mohd Baharim menghabiskan masa sekitar lima dekad memperjuangkan kesenian budaya itu dan mempunyai lima buah album Dondang Sayang.

Dalam pada itu, Anugerah Gamechanger diberikan kepada Penerbit Muzik kelahiran Kuching, Sarawak, Alvin Wee merupakan rakyat Malaysia pertama menerima Anugerah Cinema Audio Society (CAS) di Hollywood bagi kategori Pencapaian Cemerlang menerusi karya animasi Disney, Encanto.

Selain itu, beliau juga terlibat dengan beberapa filem pecah panggung seperti Kingsman:The Secret Service (2014), Mulan (2020), No Time To Die (2021) dan TopGun: Maverick (2022).

Sentuhan magis beliau turut terdapat menerusi lagu patriotik tempatan iaitu Malaysia Prihatin (2020) dan Sarawak Gemilang (2021). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram