Jangan ambil mudah, wanita perlu tepis rasa malu periksa payudara minimum sekali sebulan


  • Sihat
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Hanya sekitar enam langkah yang perlu dilakukan untuk membuat pemeriksaan kendiri terhadap payudara.

KANSER payudara antara penyakit kronik yang sering menyerang golongan wanita. Bahkan, penyakit ini juga menjadi antara ketakutan kaum Hawa tidak mengira usia.

Pengamal perubatan am dan juga pempengaruh media sosial, Dr Sandra Raman, berkata, usaha memberi kesedaran terhadap pemeriksaan payudara merupakan tugas jururawat dan doktor.

Dr Sandra memberitahu, pesakit yang membuat pemeriksaan kesihatan berkala akan disarankan untuk membuat pemeriksaan payudara mengikut prosedur betul.

pink-badge-ribbon-woman-chest-support-breast-cancer-cause-healthcare-concept-min

Kaum Hawa tidak perlu malu untuk membuat pemeriksaan kendiri terhadap payudara.

“Tugas membentuk kesedaran kesihatan ini sememangnya peranan pengamal perubatan, tetapi masyarakat juga perlu memainkan peranan utama terhadap kesihatan mereka.

“Sekarang segala maklumat boleh didapati secara dalam talian. Di mana-mana sahaja sudah boleh mendapatkannya. Jadi perkara itu lebih memudahkan buat mereka lebih-lebih lagi untuk membuat pemeriksaan sendiri.

“Tidak memerlukan sebarang kos. Lakukan sendiri di rumah. Sekiranya tidak tahu bagaimana ingin melakukannya, boleh rujuk dalam internet atau video perubatan,” katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, pemeriksaan kendiri boleh dibuat untuk mengetahui sama ada wujud sebarang perubahan terhadap payudara seperti perubahan permukaan kulit, warna, benjolan atau keluar cecair (nanah) daripada puting.

Tegas Dr Sandra, perkara itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya sekali sebulan.

“Jika malu untuk membuat pemeriksaan di pusat perubatan, boleh lakukannya sendiri atau pilih janji temu dengan doktor wanita.

“Kadangkala orang perempuan ini buat pemeriksaan diri sendiri pun rasa malu. Kalau boleh jangan ada sikap begitu kerana sakit payudara ini satu penyakit serius, jadi jangan ambil mudah,” ujarnya.

Tambahnya, mereka yang berkemampuan boleh membuat pemeriksaan mengikut tawaran pakej disediakan oleh institusi perubatan.

“Pemeriksaan itu mungkin akan melibatkan kos sekiranya membuat pemeriksaan di hospital. Bagi yang berkemampuan, disarankan terus mendapatkan nasihat dan temu janji dengan doktor.

“Tetapi, seperti yang saya katakan tadi, pemeriksaan itu boleh dibuat sendiri dan percuma. Cuba lakukan sendiri terlebih dahulu.

“Sekiranya ada sebarang perubahan barulah rujuk kepada pihak perubatan untuk buat pemeriksaan lanjut,” terangnya.

ezgif-4-74c1efe15b

Teknik yang perlu dilakukan untuk membuat pemeriksaan payudara sendiri.

Cara pemeriksaan payudara

Pemeriksaan payudara atau clinical breast examination (CBE). Pemeriksaan payudara klinikal digunakan bersama dengan memogram untuk memeriksa kanser payudara dan masalah lain.

*Periksa payudara sebulan sekali

*Berdiri di hadapan cermin

*Gunakan hujung jari untuk memeriksa keseluruhan payudara

*Lakukan bulatan kecil dari luar payudara ke puting

*Pastikan anda memeriksa sehingga ke bahagian ketiak

*Lihat jika terdaapt sebarang perubahan pada bentuk, warna atau permukaan kulit

*Picit puting payudara untuk periksa jika ada sebarang cecair .

Jika ada sesuatu yang mencurigakan, sebaiknya segera membuat janji temu dengan pegawai perubatan untuk melakukan pemeriksaan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram