'Kanser bukan hukuman mati', bekas pesakit mahu bukti kemampuan berbasikal 700km dari Kuching ke Bintulu


Koh sanggup mencabar diri untuk melibatkan diri dengan aktiviti berbasikal sebagai usaha memberikan kesedaran serviks kepada orang ramai.

MENGAMALKAN gaya hidup sihat sudah menjadi rutin dalam kehidupan seharian buat Koh Lee Hee termasuk melibatkan diri dengan aktiviti berbasikal.

Sejak meminati aktiviti tersebut sejak sembilan tahun lalu, wanita berusia 43 tahun itu tidak lagi menoleh ke belakang.

Dia turut menyertai pelbagai pertandingan berbasikal di Jepun, Thailand, Laos dan Taiwan.

Kali ini, Koh memiliki matlamat untuk mengayuh basikal sejauh 700 kilometer (km) dalam acara Sepeda Amal Borneo di mana peserta akan berbasikal dari Kuching ke Bintulu, Sarawak selama enam hari.

Di sebalik terlibat aktif dengan aktiviti basikal, ironinya Koh merupakan bekas pesakit kanser serviks berjaya mengharungi ujian tersebut dan terselamat.

“Saya disahkan menghidap kanser serviks tahap 3C pada Januari tahun lalu.

“Ia sangat mengejutkan apabila saya mula-mula mengetahui mengenainya. Rasa tidak percaya dan saya tidak pasti bagaimana menerimanya.

“Awal ketika diberitahu, saya bertanya kepada diri sendiri tentang apa yang akan lakukan sekarang dan adakah ini penghujungnya,” soalnya kepada diri selepas disahkan menghidap kanser.

ezgif-5-9e262a2425

Tanda-tanda individu mengalami kanser serviks. — Hello doktor

Koh terus bersemangat dan berusaha untuk menjaga kesihatan dan melibatkan diri dalam aktiviti fizikal demi menghadai kehidupan situasi itu.

Perkara paling mencabar, Koh mengalami beberapa kesan sampingan akibat rawatan kemoterapi.

“Saya mengalami kesukaran untuk tidur dan mengalami sakit otot berterusan. Saya juga perlu menjaga mental dan berdepan dengan apa yang berlaku.

“Terus terang situasi ini sangat mencabar dan sukar untuk diterima,” jelasnya yang menamatkan rawatan kemoterapi pada Ogos 2022.

Bekerja dalam bidang teknologi maklumat (IT), Koh turut menjalan perniagaan jualan jersi berbasikal dan beberapa kelengkapan berbasikal lain.

“Walaupun saya menjalani kemoterapi, saya sentiasa bersungguh-sungguh untuk bersenam.

“Saya meneruskan kayuhan sekurang-kurangnya sejam pada hujung minggu sambil melakukan latihan rintangan lain.

“Paling penting bagaimanapun saya perlu kekal bertenaga. Setiap kali saya berasa letih, saya berehat, tetapi apabila saya rasa baik, saya akan teruskan semula,” terangnya.

Sebagai persediaan untuk misi berbasikal tersebut, Koh menyertai latihan kayuhan antara 30 hingga 40km pada setiap hujung minggu dengan pelbagai kumpulan berbasikal.

Katanya, perjalanan sejauh 700km itu adalah satu aktiviti yang menakutkan, namun satu hal yang amat mengujakan.

“Saya tidak pernah menunggang sejauh itu dalam tempoh enam hari sebelum ini. Apapun saya menantikan perkara itu dan akan berusaha memberikan yang terbaik,” ujarnya.

Tambahnya, sebab utama dia memilih untuk menyertai acara kayuhan anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bagi menyokong Yayasan Rose iaitu meningkatan kesedaran tentang kanser serviks dalam kalangan wanita.

Yayasan Rose memberi fokus kepada kesedaran kanser serviks dalam kalangan wanita dan tumpuan untuk menghapuskan kanser serviks dalam kalangan wanita Malaysia.

“Saya memilih untuk menyertai aktiviti berbasikal ini untuk memainkan peranan kecil bagi memberikan kesedaran tentang kanser serviks.

“Kanser bukanlah hukuman mati mahupun pengakhiran hidup, kita seharusnya sentiasa boleh mengawal kehidupan ini,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram