Bekas penyampai Suria FM, Zizi meninggal dunia pada usia 42 tahun di Melaka


  • Hiburan
  • Khamis, 11 Mei 2023

Zizi pernah mengendalikan segmen Breakfast@Suria bersama Halim Othman dan Sharifah Shahira sebelum ini.

BEKAS penyampai radio popular Suria FM, Ahmad Zuwairi Mohd Nor atau dikenali sebagai Zizi meninggal dunia pukul 1.47 pagi, Khamis.

Allahyarham yang berusia 42 tahun menghembuskan nafas terakhir di Hospital Melaka dipercayai akibat masalah jantung.

Berita sedih itu disahkan oleh salah seorang ahli keluarganya iaitu birasnya, Muhammad Saffuan.

Difahamkan, Allahyarham ada mengadu berasa letih dan penat kepada isteri, Noor Hidayah Sabidi dan meminta untuk berehat di dalam bilik.

“Selepas selesai menguruskan anak-anak, isterinya cuba memanggil arwah tetapi tiada sahutan Kira-kira pukul 11 malam, isterinya segera membuat panggilan kecemasan.

“Allahyarham terus dibawa ke hospital dan pegawai perubatan mengesahkan kematian pukul 1.47 pagi,” katanya.

majoriti2023 (8)

Zizi (duduk) ketika berkhidmat sebagai penyampai radio Suria FM sekitar 2011.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke kediaman keluargannya di Bukit Katil, Melaka sekitar pukul 9 pagi bagi menyempurnakan urusan pengebumian.

Sementara itu, bekas rakan sekerja, Sharifah Shahira yang pernah bersama-sama mengendalikan segmen Breakfast@Suria memberitahu, dia sempat berjumpa dengan arwah pada sambutan hari raya ketiga di kediamannya.

majoriti2023 (9)

Zizi (duduk) bersama tiga anak dan isterinya ketika bertandang ke kediaman Sharifah shahira pada hari raya ketiga lalu.

"Kami memang selalu beraya bersama. Tiba-tiba tahun ini, Zizi datang bersama isteri dan tiga orang anak. Sebab dia tinggal di Melaka.

"Waktu awal bergelar penyampai radio dulu, Zizi banyak membantu terutama ketika di dalam konti. Boleh dikatakan waktu itu, ke mana sahaja arwah pergi, saya memang ikut saja dia saja.

"Arwah seorang rakan yang baik dan mudah mesra. Dahulu pun dia ada juga pernah tolong ambilkan anak balik sekolah," ujarnya

Pada masa sama, pelakon dan pelawak itu turut meluahkan rasa terkilan, namun bersyukur kerana sempat bertemu sebelum arwah meninggal dunia.

"Kita tidak tahu benda nak jadi. Siapa sangka itu kali terakhir dapat berjumpa dengan dia," tambahnya.

Untuk rekod Zizi pernah berkhidmat sebagai penyampai radio Suria FM dan mengendalikan segmen Breakfast@Suria bersama Halim Othman dan Sharifah Shahira pada 2011.

Arwah kemudian meninggalkan stesen radio selepas menerima tawaran sebagai konsultan di sebuah stesen radio di Jakarta, Indonesia.

Allahyarham meninggalkan tiga cahaya mata, Irsyad Musyrif Billah, 6, Muhammad Muayyad Iyaaz Billah, 4, dan Airis Nur Billa, 2 bersama balu Noor Hidayah, 39. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram