JUARA qari kebangsaan dan antarabangsa, Datuk Abdul Haq atau Abdul Ghani Abdullah menghembuskan nafas terakhir pukul 9.45 malam pada Ahad.
Berita sedih itu dikongsikan oleh anaknya, Ustaz Azraie Abdul Hak di Instagram yang juga juara Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-9 di Kuwait.
Sebelum ini, Allahyarhan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah atas masalah kesihatan.
Bagaimanapun punca kematian Allahyarham tidak dinyatakan.
Tangkap layar Abdul Azhar (kanan) bersama Allahyarham Datuk Abdul Haq membacakan ayat suci al-Quran.
Jenazah dibawa pulang ke kediaman di Kampung Batu Hampar, Pendang, Kedah dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Hampar Kanan Pendang pada pukul 11 pagi, Isnin.
Allahyarham Abdul Haq meninggal dunia pada umur 81 tahun dan pernah bergelar johan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada 1967, 1972, 1980 dan 1982.
Ustaz Azraie (duduk tengah) bersama isteri dan tujuh anaknya termasuk Abdul Azhar (duduk kiri).
Beliau juga merupakan datuk kepada qari cilik, Ahmad Azhar iaitu juara Musabaqah Tilawah Aa-Quran Mazamir Dawud Peringkat Antarabangsa 2022 di Algeria.
Sebelum ini, Azraie dan Ahmad Azhar sekeluarga turut tular di media sosial apabila kesemua ahli keluarga mampu membaca al-Quran secara taranum.
Bahkan, Azraie juga berjaya mendidik enam daripada tujuh anaknya mahir dalam taranum al-Quran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram