Imbau kembali tradisi tak terlupakan setiap kali menyambut Aidilfitri


  • Hobi
  • Selasa, 02 Mei 2023

Menyambut Hari Raya bersama keluarga di kampung adalah perkara yang paling menggembirakan. — Gambar hiasan

AIDILFITRI merupakan hari disyariatkan untuk disambut sebagai hari kegembiraan dan hari kemenangan bagi umat Islam yang berjaya melaksanakan ibadah puasa dengan sempurna pada bulan Ramadan.

Pastinya tradisi menyambut perayaan Aidilfitri tidak dapat dilupakan ibarat tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.

Sudah tentu ramai orang semakin melupakan perkara yang dilakukan ketika menyambut Hari Raya.

Berikut merupakan antara tradisi yang sering menjadi tumpuan sebelum berlakunya perkembangan era teknologi:

pelita

Pelita raya dapat menceriakan dan menyinari suasana sekeliling kampung.

Lagu Balik Kampung

Pastinya pada masa kini, lagu-lagu raya popular semakin mendapat sambutan terutamanya apabila tiba musim perayaan.

Ramai tidak mengetahui bahawa lagu Balik Kampung mempunyai lirik yang sangat mendalam dan menjadi pilihan pada suatu ketika dahulu walaupun lagu itu sebenarnya bukanlah sebuah lagu raya.

Lagu itu akan berkumandang menandakan bulan Ramadan sudah semakin hampir ke penghujungnya dan meraikan meraikan hari raya di kampung halaman masing-masing dapat mengubat rindu kepada keluarga dan rakan-rakan.

Namun begitu, kebanyakan orang tidak lagi mengingati lagu tersebut kerana terdapat banyak lagu raya yang dinyanyikan oleh artis tanah air.

Pelita Raya

Memasang pelita adalah acara wajib di kampung sehingga tercetusnya beberapa pertandingan memasang pelita raya. Tradisi itu dapat menceriakan dan menyinari suasana sekeliling kampung mengikut kreativiti keluarga masing-masing.

Namun begitu, tradisi itu bertukar kepada memasang lampu kelap-kelip sebagai hiasan rumah semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri yang semakin popular pada masa kini.

Duit Raya

Individu yang paling gembira semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri sudah tentu kanak-kanak.

Ini kerana, tradisi pemberian duit raya oleh orang dewasa pasti dapat mengukir senyuman indah buat mereka. Tradisi ini juga dikatakan sebagai sambungan ibadah sedekah semasa bulan puasa dan membolehkan kanak-kanak berinteraksi dengan orang dewasa.

Biasanya, kanak-kanak akan pergi ke rumah jiran untuk beraya dan jika mempunyai rezeki ia boleh menambahkan koleksi duit raya mereka.

Tradisi itu sebenarnya boleh mendidik kanak-kanak cara untuk berkomunikasi, semangat kerjasama dalam kumpulan dan memupuk nilai-nilai kasih sayang serta hormat-menghormati.

Amalan ziarah

Selain balik kampung dan meluangkan masa bersama keluarga, amalan kunjung-mengunjungi untuk bertanya khabar masih diteruskan hingga kini yang lebih dikenali sebagai rumah terbuka.

Tidak dinafikan bahawa tuntutan kerja dan kesibukan mencari nafkah menyebabkan ramai orang sukar untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga dan rakan-rakan lain.

Tradisi tersebut boleh merapatkan silaturahim dan menyemai nilai kasih sayang dan terdapat sesetengah masyarakat Malaysia gemar membuat konvoi raya semasa menjalankan aktiviti kunjung-mengunjung itu.

Amalan bersalaman dan bermaafan

Bersalaman dan bermaafan boleh dikatakan sebagai tradisi kerana perkara itu sering dilakukan pada Hari Raya sebagai tanda kemaafaan dan mengeratkan ikatan silaturahim.

Pastinya suasana Hari Raya tidak lengkap dengan ungkapan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin. Tradisi itu menjadi adat budaya dan membantu mengajar kanak-kanak kecil untuk menghormati ahli keluarga yang tua seperti datuk, nenek, pak cik dan mak cik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram