PENYOKONG Sang Kenari sudah pasti kecewa dengan penampilan yang ditunjukkan oleh pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) apabila ditewaskan di laman sendiri kepada Kuala Lumpur (KL) City dalam aksi Liga Super baru-baru ini.
Kekalahan tersebut pastinya meninggalkan kesan kepada pasukan itu sendiri dan penyokong kerana ditewaskan oleh juara Piala Malaysia 2021 itu di laman sendiri di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.
Rata-rata penyokong menyalahkan taktikal yang digunakan oleh pengendali KDA FC, Nafuzi Zain dan meminta pihak pengurusan untuk membawa masuk pemain kelahiran Nigeria, Ifedayo Olusegun untuk menguatkan lagi barisan serangan mereka.
Ifedayo mempunyai rekod tersendiri untuk layak dalam kesebelasan utama KDA FC.
Sebelum ini, penyerang itu pernah membantu pasukan Melaka United namun membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan itu berikutan masalah kewangan.
Namun begitu, nama Ifedayo mulai menjadi sebutan apabila statusnya sekarang adalah sebagai free agent (agen bebas) dengan tiada mana-mana pasukan menyambarnya sebelum ini.
Ifedayo yang juga bekas bintang import Selangor dikatakan mampu membantu jentera serangan skuad Sang Kenari musim ini untuk memberi ruang kepada skuad tersebut menyerlah berikutan rekod yang pernah dicapai olehnya.
"Apa kata ambil Ifedayo jadi import Kedah, dia tengah free agent itu," kata Ali Hussein Malek.
Pemain berumur 32 tahun itu merekodkan sebanyak 87 gol daripada 104 penampilan dalam saingan Liga Malaysia.
Selain itu, pemain berketinggian 1.8 meter itu pernah mencatatkan momen indah ketika bersama Selangor FC apabila dia memenangi dua Anugerah Kasut Emas untuk dua tahun berturut-turut iaitu pada 2020 dan 2021.
Oleh itu, kehadiran Ifedayo dikatakan mampu membantu jentera serangan KDA FC dalam meledak gol-gol penting sebaik jendela perpindahan pemain dibuka semula Julai depan.
Selepas ini, KDA FC bakal berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan untuk bertemu skuad Jang pada Jumaay dan ia merupakan platform terbaik gergasi Utara tanah air itu untuk kembali ke landasan kemenangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram