Air putih, kuantiti dan buahan antara SOP 'tundukkan' nafsu makan sepanjang Syawal


  • Sihat
  • Khamis, 27 Apr 2023

Pengambilan buah-buahan amat penting dalam menjaga kesihatan.

SEMPENA bulan Syawal yang mulia ini, sudah pasti pelbagai jenis juadah yang berlemak dan berminyak seperti rendang, ketupat, lemang dan sebagainya akan disediakan di setiap rumah.

Biasanya, makanan yang dihidangkan mempunyai kandungan yang mampu menaikkan berat badan, apatah lagi jika tidak mengehadkan pengambilan makanan.

Sebelum mendapat penyakit obesiti atau berat badan berlebihan, pastinya langkah mencegah dan berjaga- jaga perlu diambil.

makanan lemak

Kesihatan mudah terjejas jika tidak mengawal pengambilan makanan yang berlemak.

Berikut adalah cara- cara pengambilan makanan secara berhemat dan amalan hidup sihat ketika anda rancak menghadiri acara rumah terbuka atau seumpamannya.

1) Minum air putih sebelum makan

Sebelum mula makan, disarankan untuk minum air putih sekurang-kurangnya dua gelas atau memakan buah-buahan terlebih dahulu.

Sudah pasti air putih dan buah-buahan dapat menjaga serta menahan keinginan badan untuk terus makan secara berlebihan.

Hal ini kerana, kandungan serat daripada buah serta kandungan air yang ada membuatkan perut anda terisi sedikit.

2) Makan mengikut waktu

Biasanya, amalan kunjung-mengunjungi ke rumah sanak saudara dan rakan dilakukan tanpa mengira masa sepanjang perayaan Aidilfitri.

Sudah pasti para tetamu akan dihidangkan dengan pelbagai makanan yang pasti mempunyai banyak pilihan sehingga ada kalanya kita 'lupa diri' dan tunduk kepada nafsu makan.

Oleh itu, elakkan makan makanan berat terutamanya pada waktu malam. Namun, anda boleh memilih makan biskut atau kuih mahupun kek yang disediakan.

3) Jangan ambil makanan dalam kuantiti yang banyak

Pastikan saiz hidangan yang diambil semasa raya tidak terlalu banyak kerana ia akan memudaratkan kesihatan anda sendiri.

Walaupun terdapat pelbagai hidangan yang disediakan, pastikan anda tidak 'melonggokkan' kesemua jenis makanan dalam satu pinggan.

Adalah lebih baik jika memberi masa untuk tubuh anda mencerna makanan yang lain terlebih dahulu.

Oleh itu, anda perlu disiplinkan diri dengan mengambil makanan dengan masa teratur dan saiz hidangan yang betul.

4) Pastikan komponen makanan seimbang

Pastinya kebanyakan hidangan sepanjang Hari Raya berlemak, pedas, bersantan dan agak jarang tuan rumah menghidangkan sayuran serta buahan yang merupakan menu penting untuk menyeimbangkan kadar lemak serta kolesterol di dalam tubuh.

Oleh itu, pastikan komponen makanan yang dimakan adalah seimbang merangkumi karbohidrat, serat, protein dan vitamin.

Elakkan makan terlalu banyak daging dan pastikan sayur-sayuran dan buah-buahan terdapat dalam menu anda.

5) Amalkan makan nanas dan epal

Seperti yang diketahui, nanas dan epal adalah buah yang disyorkan untuk dimakan sebelum dan selepas menjamu selera.

Buah nanas sesuai diambil sebelum makan kerana ia kaya dengan serat sehingga dapat membuat perut menjadi cepat kenyang.

Namun begitu, buah epal pula sesuai diambil selepas makan kerana ia berfungsi untuk detoks badan dan dapat membantu tubuh membuang lemak.

Oleh itu, pengambilan buah nanas dan epal amat penting dalam menjaga tubuh badan anda.

Tambahan pula, pengawalan pengambilan makanan juga penting untuk mengelakkan tubuh badan menjadi obesiti dengan mengambil makanan kuantiti yang sedikit tetapi cukup khasiat untuk tubuh badan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram