Jangan lupa adab sebagai tetamu sepanjang Aidilfitri


  • Hobi
  • Selasa, 25 Apr 2023

Amalan ziarah menziarahi ahli keluarga dan sanak saudara dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan sepanjang Aidilfitri. — Gambar hiasan

DALAM meraikan perayaan Aidilfitri, pastinya ramai orang akan datang berkunjung ke rumah ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

Sudah pasti tuan rumah akan berasa gembira dengan kedatangan para tetamu untuk menyambut perayaan Aidilfitri bersama-sama.

Namun begitu, terdapat perkara penting yang perlu diketahui oleh tetamu ketika menziarahi rumah untuk beraya.

anaka berkunjng

Suasana berkunjung ke rumah terbuka bersama keluarga. — Gambar hiasan

1) Maklum awal jika ingin datang ke rumah

Biasanya, sambutan Aidilfitri disambut selama sebulan oleh umat Islam.

Walaupun Aidilfitri disambut selama sebulan, ia tidak bermakna boleh sesuka hati berkunjung ke rumah orang tanpa mengira masa.

Jika berbuat demikian, pastinya kita akan mengganggu keluarga tersebut sama ada sedang bercuti atau melakukan aktiviti yang dirancang oleh mereka.

Adalah Lebih baik jika kita memaklumkan terlebih dahulu jika ingin menziarahi rumah orang lain di samping mereka boleh menyediakan beberapa persiapan sebelum menerima tetamu.

2) Jaga kelakuan anak-anak kecil

Seperti yang diketahui umum, karenah anak-anak kecil adalah suka untuk meneroka benda baharu, bermain dan berseronok selain ada juga sesetengah mereka hiperaktif.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menjaga dan mengawal kelakuan anak mereka ketika menziarahi atau berkunjung ke rumah sanak saudara atau kenalan rapat.

Selain itu, ibu bapa dinasihatkan agar tidak leka sehingga membiarkan anak-anak melakukan perkara yang boleh menimbulkan ketidakselesaan pada tuan rumah.

3) Makan kuih raya jangan berlebihan

Hidangan kuih raya semestinya wajib untuk dihidangkan kepada tetamu dan tidak salah jika ingin makan berulang kali kuih yang disukai namun kita perlu peka bahawa tuan rumah juga mempunyai lebih ramai jemputaan yang akan datang menziarah.

Selain itu, tetamu juga perlu pastikan jika ada kuih raya yang dibaluti oleh paper cup dan sebagainya, adalah baik jika membawa kembali pembalut itu dan jangan masukkan semula ke dalam balang atau buang merata-rata.

4) Jangan membuka aib tuan rumah

Jika anda memasuki rumah orang lain perlu dalam keadaan buta dan keluar dengan keadaaan bisu. Hal ini bermaksud, apa yang anda nampak di dalam atau berlaku di rumah orang yang dikunjung, tidak perlu untuk menceritakan perkara itu kepada orang lain.

Hal ini kerana, kita perlu menghormati sesama manusia dan menjaga hal peribadi seseorang itu apa lagi pada perayaan Aidilfitri yang mana kita akan mengetahui atau melihat keadaan rumah ketika berkunjung.

5) Elakkan bercerita berkaitan isu sensitiviti

Antara soalan yang menyentuh sensitiviti orang lain adalah seperti berkaitan rezeki, zuriat, perkahwinan, bentuk badan dan sebagainya.

Perkara tersebut tidak perlu dibahaskan ketika berkunjung kerana dalam diam ia akan menguris hati orang lain tanpa diketahui apa yang mereka sendiri alami.

Hal ini kerana, apa sahaja keputusan yang dilakukan oleh orang lain dalam hidup mereka, jangan pernah mempersoalkan atau menegur secara berlebihan.

Sudah semestinya perayaan Aidilfitri merupakan masa yang sesuai untuk bertanya khabar tetapi bukannya mempersoalkan kehidupan orang lain.

Tambahan pula, perayaan Aidilfitri merupakan masa yang sesuai untuk mengutuhkan lagi hubungan kekeluargaan mahupun persahabatan, oleh itu, sebagai tetamu perlu meringankan beban tuan rumah dengan mengikuti perkara tersebut.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram