Masih ada cara raikan Aidilfitri meskipun musim panas


  • Sihat
  • Isnin, 24 Apr 2023

Pemilihan pakaian yang terlalu berfesyen tidak digalakkan semasa menyambut Aidilfitri dalam cuaca panas. — Gambar hiasan

SAMBUTAN perayaan Aidilfitri tetap disambut dengan meriah walaupun cuaca panas melanda negara ketika ini.

Meskipun berdepan dengan fenomena bahang, umat Islam tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri, menghadiri majlis sambutan hari raya, menziarahi pusara ahli keluarga serta mengunjungi sanak saudara.

Cuma pada masa sama, rakyat Malaysia yang menyambut Aidilfitri perlu berjaga-jaga dengan keadaan cuaca tidak menentu yang mana boleh mengakibatkan kesihatan terjejas.

Oleh itu, terdapat beberapa cara untuk raikan Aidilfitri dalam keadaan selesa:

1) Pakai pakaian yang longgar dan warna cerah

Pemilihan pakaian berasaskan fabrik tebal, gelap dan terlalu berfesyen tidak disarankan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Hal ini kerana bagi mengelak risiko terkena strok haba berikutan cuaca panas yang melanda beberapa tempat di seluruh negara.

Oleh itu, orang ramai disarankan untuk memilih pakaian yang dihasilkan menggunakan fabrik mudah serap udara, berwarna cerah dan longgar.

2) Gunakan alat penyaman udara dan penapis

Sudah pasti kemeriahan menyambut Hari Raya merupakan momen ditunggu oleh setiap ahli keluarga kerana dapat berjumpa dengan ahli keluarga sama ada yang dekat ataupun jauh.

Biasanya, ruang tamu menjadi lokasi utama dan tempat sesuai untuk saling bertanya khabar. Namun, bagi mereka yang mempunyai penyaman udara dan penapis amat digalakkan untuk menggunakannya lebih-lebih lagi pada musim panas.

Setiap keluarga perlu menggunakan alat penyaman udara dan penapis udara (air filter/purifier) yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar.

3) Elakkan berada di bawah panas terik

Pastinya menjadi kebiasaan setiap orang untuk berkunjung ke rumah sanak saudara atau sahabat handai semasa perayaan Aidilfitri.

Semua orang boleh melakukan aktiviti tersebut namun perlu diingatkan untuk tidak terlalu lama berada di bawah cahaya matahari atau di halaman rumah bagi mengelakkan risiko mengalami strok haba berikutan keadaan cuaca yang panas.

4) Hadkan aktiviti fizikal

Bagi mereka yang menyambut Aidilfitri berhampiran dengan kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat atau cuaca panas adalah dinasihatkan agar mengehadkan aktiviti fizikal lasak.

Namun, anda masih boleh mengelak daripada terdedah kepada cahaya matahari atau panas terik dengan menggunakan pelindung seperti payung dan topi.

5) Sentiasa minum air kosong

Setiap orang wajib pengambilan air kosong yang mencukupi dan perlu mengurangkan minuman bergula.

Pengambilan air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari adalah perlu bagi mengekalkan tahap hidrasi badan yang berperanan penting untuk mengawal atur suhu badan.

Oleh itu, sama ada semasa perayaan atau tidak, semua orang diwajibkan untuk mengamalkan pengambilan air kosong.

Tambahan pula, sekiranya anda memiliki simptom seperti demam dan pening, adalah digalakkan untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan dengan kadar yang segera. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram