KEMERIAHAN Hari Raya pastinya dirasai dengan kehadiran ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai semasa berkunjung ke rumah yang merupakan perkara wajib sepanjang musim perayaan.
Sudah pasti setiap keluarga mempunyai tema warna baju yang sedondon termasuk perayaan Aidilfitri selain penyediaan hidangan yang pelbagai untuk disajikan kepada tetamu.
Namun begitu, di sebalik kegembiraan menyambut Aidilfitri, terdapat sesetengah ibu bapa yang mempunyai anak autistik berjuang untuk mengawal emosi anak mereka.
Menerusi tangkap layar daripada hantaran video di Tik Tok miliknya. — Tik Tok/Dr Rozanizam Psychiatrist
Menerusi satu perkongsian daripada hantaran video di Tik Tok, Dr Rozanizam Psychiatrist yang terkenal dengan penghasilan video khususnya memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai penyakit yang sering dihidapi oleh segelintir masyarakat.
Pakar Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria dalam satu perkongsian kepada pengikutnya di media sosial membincangkan mengenai penyakit autisme dan cabaran di Hari Raya.
Ibu bapa yang mempunyai anak autisme sudah pasti akan merasakan sedikit cabaran dalam menyambut Syawal kerana ada sebahagian daripada anak autisme yang sukar dikawal apabila berdepan dengan keadaan tetamu yang ramai ketika meraikan Aidilfitri.
Terdapat beberapa tahap autisme iaitu ringan, sederhana dan serius.
Terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan pesakit autisme berasa tidak selesa dan akan menunjukkan perubahan semasa menyambut Hari Raya.
Dr Rozanizam mengatakan bahawa perkara itu dapat dilihat di mana ada sesetengah pesakit autisme tidak menyukai perubahan drastik yang berlaku terutamanya apabila balik kampung ibu atau bapa.
Hal ini kerana, bagi pesakit autisme perubahan itu bermakna adanya sesuatu yang berbeza dengan rutin harian yang dilakukan ketika berada di rumah sendiri.
Antara perubahan itu termasuk perlu memakai baju Melayu, mengambil gambar bersama keluarga untuk dijadikan kenangan dan perkara yang lazim melibatkan aktiviti semasa raya.
Keadaan itu akan menyebabkan tingkah laku mereka berubah kerana tidak selesa dengan situasi seperti itu.
Berbeza dengan anak autisme yang mempunyai kemampuan untuk berkomunikasi, mereka boleh mengatakan secara terus kepada ibu bapa mengenai perkara yang membuatkan mereka tidak selesa.
Namun begitu, sesetengah pesakit autisme tidak mampu untuk berkomunikasi malah akan menunjukkan ketidakselesaan itu melalui perbuatan dan ia biasanya berbeza dari segi tingkah laku.
Selain itu, sudah menjadi kebiasaan apabila beraya, kanak-kanak lain berkumpul untuk bermain-main dan perkara itu mengganggu anak autistik yang mana mereka akan mulai menyendiri dalam dunia sendiri kerana tidak mempunyai kemampuan untuk berada dalam situasi seperti kanak-kanak lain.
Tambahan pula, Autism Spectrum Disorder (ASD) atau autisme adalah gangguan perkembangan neuro sepanjang hayat yang mana mempengaruhi keupayaan kanak-kanak dalam berkomunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku dengan masyarakat.
Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil langkah awal untuk mengawasi anak autistik agar tidak melakukan sesuatu di luar jangkaan sepanjang menyambut Aidilfitri.
Bagi masyarakat, seharusnya mengambil inisiatif memahami anak istimewa ini kerana mereka berhak mendapat layanan sebaiknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram