SERING kali musim perayaan tiba sama ada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan sebagainya, sudah pasti terdapat individu yang tidak menitikberatkan aspek kesihatan.
Hal ini kerana, sesetengah orang gagal mengawal nafsu makan dan minum disebabkan pelbagai juadah enak disediakan.
Berbeza dengan negara atau budaya lain, Hari Raya Aidilfitri di Malaysia disambut selama sebulan dan biasanya mengamalkan tradisi yang popular iaitu rumah terbuka.
Sentiasa beringat dalam pengambilan makanan sepanjang bulan Syawal.
Sudah pasti makanan adalah sumber utama dalam menyumbang kepada penyakit dan jika gagal mengawal pemakanan pada musim perayaan, ia akan memberi kesan buruk kepada diri sendiri.
Salah satu penyakit yang sering berlaku pada musim perayaan ialah keracunan makanan. Antara faktor yang menyebabkan keracunan makanan ialah makanan tidak dimasak dengan sempurna (kuantiti makanan yang banyak dimasak pada satu masa).
Selain itu, makanan tidak disimpan dalam peti sejuk dan dibiarkan basi serta kaedah penyediaan makanan yang tidak bersih. Jika tidak dirawat dengan betul, keracunan makanan boleh menjadi masalah yang serius.
Selain itu, pesakit yang menghidap penyakit kronik mungkin mengalami kemerosotan dalam pengawalan penyakit dan memerlukan rawatan misalnya untuk mengawal paras gula bagi pesakit kencing manis dan tekanan darah untuk pesakit hipertensi atau darah tinggi. Ini untuk mengelak krisis atau kecemasan seperti strok, serangan jantung atau paras gula tinggi yang boleh membahayakan nyawa.
Sekiranya kita makan secara berlebihan pada musim perayaan, hal ini boleh mengakibatkan berat badan meningkat dan kemungkinan besar berisiko tinggi mendapat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti.
Kenaikan berat badan secara mendadak akan memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka masa panjang.
Tambahan pula, mereka yang diagnosis dengan penyakit harus diingatkan bahawa penjagaan kesihatan secara konsisten dan menyeluruh adalah penting dalam membantu mereka mengelakkan diri daripada mendapat komplikasi daripada penyakit sedia ada.
Selain itu, untuk pesakit kencing manis, jika kawalan gula tidak baik, pesakit berpotensi untuk mendapat komplikasi seperti kerosakan buah pinggang, retinopati diabetes iaitu kerosakan pada retina yang disebabkan oleh komplikasi penyakit diabetes dan masalah dengan saraf.
Jika penyakit darah tinggi dan kencing manis tidak dikawal elok, kemungkinan berlakunya komplikasi seperti masalah jantung, strok dan sebagainya.
Oleh itu, penjagaan kesihatan amat penting jika ingin kekal sihat walaupun selepas musim perayaan dan melakukan senaman yang sesuai secara konsisten untuk menjaga kesihatan terutama pada musim perayaan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram