Ketahui 5 aktiviti tak lapuk dek zaman sentiasa dilakukan di pagi Syawal


  • Hobi
  • Sabtu, 22 Apr 2023

Pelbagai juadah yang bakal dihidangkan bagi meraikan Syawal.

KEDATANGAN Syawal memberikan kegembiraan kepada umat Islam di seluruh dunia.

Di Malaysia, sambutan Syawal lazimnya berlangsung selama sebulan dan ketika inilah umat Islam mengambil peluang berkunjung dan menziarahi antara satu sama lain bagi merapatkan kembali ikatan ukhuwah.

Hari Raya Aidilfitri adalah perayaan yang ditunggu saban tahun kerana ia merupakan waktu yang sesuai untuk melakukan pelbagai aktiviti bersama ahli keluarga.

Antara aktiviti yang sering dilakukan sepanjang menyambut Syawal ialah:

HARI RAYA 2

Antara hidangan yang bakal menjadi tumpuan utama sempena Hari Raya.

1) Penyediaan hidangan Raya

Penyediaan juadah raya pastinya sinonim dengan penyambutan Aidilfitri yang mana setiap keluarga akan menyediakan hidangan istimewa untuk ahli keluarga dan para tetamu yang hadir untuk meraikan Syawal bersama.

Antara hidangan istimewa yang menjadi tumpuan sepanjang Ramadan adalah lemang, sate, ketupat dan rendang pasti menjadi menu utama hampir setiap rumah.

Tidak lupa juga dengan nasi impit bersama kuah kacang atau lontong yang paling digemari oleh seluruh rakyat tempatan.

2) Bersalaman dan bermaafan

Bersalaman dan bermaafan boleh dikatakan sebagai tradisi kerana perkara itu sering dilakukan pada Hari Raya sebagai tanda kemaafan dan mengeratkan ikatan silaturahim.

Hal ini kerana, waktu itu adalah peluang yang baik untuk saling meminta maaf, mengakui kesalahan dan meluahkan apa yang terpendam. Dengan ini, hati rasa lebih terbuka dan silaturahim dapat dieratkan lagi.

Namun begitu, kita tetap boleh melakukan perkara tersebut walaupun bukan pada Hari Raya kerana kita perlu saling bermaafan dan belajar dari kesilapan.

3) Pemberian duit raya

Biasanya kanak-kanak adalah insan paling gembira pada Aidilfitri kerana diberikan duit raya yang mana boleh mencecah ratusan ringgit.

Pemberian duit raya dianggap sebagai sedekah iaitu ibadat yang besar pahalanya dan mampu mengeratkan silaturahim di samping amalan yang membuka pintu rezeki.

Selain itu, pemberian duit raya sudah pasti sinonim dengan perayaan Aidilfitri yang menjadi tarikan utama golongan kanak-kanak mahupun dewasa.

4) Amalan kunjung-mengunjungi

Aktiviti ziarah sememangnya tidak boleh dipisahkan dalam budaya rakyat tempatan menjelang perayaan Aidilfitri.

Walaupun ziarah dianggap sebagai budaya namun kita perlu sentiasa menjaga adab ketika berkunjung ke rumah orang lain agar tuan rumah berasa gembira menerima kunjungan tersebut.

Oleh itu, sudah pasti semua orang akan mengambil kesempatan ketika bercuti di kampung halaman untuk menziarahi sanak saudara mahupun sahabat handai.

5) Ziarah Kubur

Aktiviti menziarah kubur pada setiap kali tibanya Syawal sudah menjadi rutin kepada sebahagian keluarga.

Hal ini kerana, waktu itulah yang digunakan untuk mengingatkan sanak saudara kepada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram