HILANG sumber kewangan sebagai pemain dram, hidup Mohd Ashraf Mohd Amin atau nama pentasnya Acap Roseknight berubah sepenuhnya susulan penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara pada 2019.
Tidak patah semangat, anak muda berusia 30 tahun itu memberanikan diri menceburi bidang baharu yang belum pernah diteroka iaitu menghasilkan barangan kulit pada 2021, ditambah pula dengan minatnya terhadap barangan berkenaan yang semakin mendalam, selepas mengabdikan diri dalam bidang muzik sejak 2012.
"Saya terpaksa akur dengan keadaan apabila semua persembahan pentas dibatalkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.
"Lagi pula, saya sangat berminat dengan kasut but kulit sehingga menjadikan kasut berkenaan sebagai koleksi peribadi sesuai dengan penampilan sebagai pemain dram agar kelihatan lebih bergaya,” katanya.
Antara barangan kulit yang dihasilkan oleh Ashraf. — Instagram/acap.roseknight
Sebagai permulaan, anak jati Kuala Lumpur itu bereksperimen dengan menggunakan kasut but lama miliknya yang telah rosak dan tercabut tapak bagi proses belajar menjahit.
"Saya hasilkan sebuah dompet kad yang ringkas daripada kulit kasut but itu yang disiapkan dalam tempoh beberapa hari dengan hanya berpandukan kepada tutorial daripada YouTube.
"Saya mulai belajar dengan lebih mendalam bersama rakan-rakan dan pakar dalam bidang ini bertujuan untuk memantapkan lagi kemahiran sedia ada,” katanya yang pernah menyertai kumpulan muzik genre indie antaranya Temjin dan Torquesix.
Bermula secara dalam talian, Mohd Ashraf nekad untuk membuka kedai barangan kulit buatan tangan dengan fokus utama adalah kepada penghasilan pelbagai jenis dompet, tali pinggang, tali gantung gitar serta beg menerusi jenama Phrygian Acraft di Malaysia Grand Bazaar di Lalaport Bukit Bintang City Centre pada Disember lepas.
Mohd Ashraf yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Muzik (Persembahan) daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) berkata, semua produknya diperbuat daripada berbagai-bagai jenis kulit antaranya lembu, kambing, kerbau dan kuda.
"Proses menghasilkan barangan kulit tersebut membabitkan kerja-kerja mengukur, memotong, menebuk dan menjahit dengan benang dan setiap proses itu dilakukan dengan menggunakan tangan,” katanya.
Tali pinggang juga antara produk yang dibuat sendiri olehnya. — Instagram/acap.roseknight
Pemain dram itu berkata, setiap barangan kulit yang dihasilkan adalah berdasarkan kreativiti sendiri mengikut gaya selain memenuhi kehendak pelanggan.
"Apa yang penting, saya sangat menitikberatkan soal ketelitian supaya hasilnya tampak kemas, berkualiti, halus serta tahan lama selain selesa dipakai,” katanya yang bercadang menjahit kasut but dan jaket kulit pada masa akan datang.
Setiap produk kulit buatan tangan Mohd Ashraf dijual pada harga antara RM200 hingga lebih RM2,000 bergantung kepada jenis produk, material dan saiz yang digunakan selain ditempah khas.
Keputusannya itu ternyata berbaloi kerana Mohd Ashraf tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
Menurut Mohd Ashraf barangan yang diperbuat daripada kulit sentiasa mendapat tempat di hati penggemar produk itu kerana ia boleh membuat si pemakainya nampak lebih bergaya.
"Apabila menjual secara dalam talian, ada yang ragu-ragu dengan tahap keaslian produk yang dihasilkan. Jadi, dengan membuka kedai, pelanggan berpeluang melihat sendiri kulit yang digunakan adalah diperolehi daripada pembekal tempatan di Tanjung Malim, Perak,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram