SEBELUM berakhirnya bulan Ramadan, terdapat beberapa persiapan yang boleh dilakukan bersama ahli keluarga dalam menanti kedatangan Syawal dan antara persiapan yang utama ialah pemilihan baju raya.
Setiap tahun sudah pasti umat Islam menginginkan tema warna yang sedondon bersama ahli keluarga di samping menyediakan lebih dua pasang baju raya.
Menjelang cuti Aidilfitri, ramai daripada pereka fesyen akan mendapat tempahan dalam menghasilkan baju raya yang cantik dan bersesuaian mengikut pilihan hati para pelanggan.
Antara contoh seisi keluarga memakai baju sedondon. — Gambar hiasan
Pereka fesyen bertanggungjawab untuk mencipta penampilan pakaian individu yang melibatkan bentuk, warna, fabrik dan banyak lagi. Namun tiada siapa yang mengetahui kesukaran kerjaya itu dalam menyiapkan tempahan setiap pelanggan.
Menurut salah seorang pereka fesyen yang bekerja di Kolej Kuala Lumpur, Adzraul Abdul Razak, untuk tahun ini, tempahan baju raya adalah lebih banyak berbanding tahun lepas kerana tahun lepas hanya memberi tumpuan kepada baju raya tradisional sahaja seperti baju kurung dan baju kurung moden.
Antara warna yang menjadi permintaan tinggi adalah biru kelasi atau lebih dikenali sebagai navy blue dan biru muda (baby blue) dilihat menjadi warna pilihan Aidilfitri para pelanggan.
"Untuk tahun ini, fokus terhadap pakaian diperluaskan dengan menerima tempahan pelbagai jenis rekaan mengikut keinginan pelanggan.
"Tema bagi fesyen raya tahun ini adalah moden kontemporari seperti baju kurung moden pleated skirt, loose cut top pario skirt, drape kurung moden dan dress.
"Antara warna yang menjadi pilihan utama pelanggan tahun ini adalah navy blue dan baby blue," katanya kepada Majoriti.
Adzraul juga mengatakan bahawa batik Malaysia kekal menjadi pilihan pelanggan tempatan dan tiada tempahan untuk membuat fesyen batik Indonesia.
"Tiada tempahan batik Indonesia tahun ini tetapi batik Malaysia masih menjadi pilihan," kongsinya.
Sulaman renda menjadi pilihan utama rakyat Malaysia untuk beraya. —Gambar hiasan
Sudah pasti terdapat cabaran yang dihadapi dalam menghasilkan baju raya kerana setiap rekaan memerlukan kepakaran dan kemahiran yang mana rekaan tempahan pada tahun ini mencabar berbanding tahun sebelumnya.
Di samping itu, antara pengalaman menjadi pereka fesyen adalah perlu berhadapan dengan pelanggan yang pelbagai kerenah dan permintaan yang mencabar dari segi mengubah rekaan pada saat-saat terakhir.
"Biasanya, pelanggan akan menukar rekaan last minutes, jumlah kain tidak mencukupi untuk permintaan rekaan pelanggan dan keadaan yang lagi mencabar apabila sebelum hari raya," kongsi pereka fesyen yang mempunyai tujuh tahun pengalaman itu.
Seperti yang diketahui, kebanyakan baju wanita yang kelihatan mahal dan anggun pasti mempunyai sentuhan sulaman renda yang digunakan di bahagian kaki baju dan hujung tangan.
Sulaman renda tersebut yang akan menghiasi dan mencantikkan lagi keseluruhan baju yang telah siap dan menaikkan seri si pemakai.
"Trend baju dengan sulaman renda (lace) masih lagi mendominasi pasaran dan tempahan pada tahun ini," kata Adzraul yang berasal dari kajang, Selangor itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram