SEPERTI yang diketahui, cuaca panas yang dijangka berpanjangan hingga Ogos dengan suhu mencecah 40 darjah celsius boleh menjejaskan kesihatan orang ramai.
Walaupun terdapat segelintir individu yang menyukai cuaca panas terutamanya pelancong asing, ia sebenarnya mendatangkan pelbagai kemudaratan kepada kesihatan kita.
Hal ini kerana, cuaca seperti itu boleh menjadi punca terjadinya strok haba (heat stroke) yang mana akan menyebabkan kegagalan mekanisme peraturaan suhu badan (thermoregulation) dan boleh mengundang maut.
Berikut merupakan panduan untuk kekal sihat di musim panas:
Pastikan kekal hidrasi dengan memperbanyakkan minum air kosong.
1) Banyakkan minum air kosong
Perkara paling penting untuk kekal sihat adalah perlu sentiasa berhidrasi agar badan sentiasa bertenaga.
Anda juga perlu banyakkan meminum air putih dengan minima 2.5 liter sehari tanpa mengira aktiviti fizikal yang dilakukan seharian.
2) Kurangkan minuman berkafein, bergula dan beralkohol
Kebanyakan individu menganggap semua jenis air adalah sama dan kerap meminum air tersebut ketika musim panas merupakan keputusan yang betul.
Namun anda juga perlu mengetahui bahawa air berkafein, bergula dan beralkohol tidak sesuai untuk kesihatan terutamanya ketika musim panas.
Ini kerana, minuman seperti itu hanya akan mengakibatkan individu kerap membuang air kecil yang menyebabkan kekurangan cecair dalam badan.
3) Guna masa dengan bijak
Antara panduan yang perlu diikuti oleh setiap orang ketika musim panas adalah lebihkan masa berada di dalam rumah dan elakkan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca terik kerana ia bertujuan untuk melindungi diri daripada kesan strok haba.
Oleh itu, anda boleh mengambil peluang untuk berehat di hadapan kipas atau penyaman udara dalam rumah.
4) Elakkan berada dalam kenderaan dalam jangka yang lama
Setiap orang tidak digalakkan berada di dalam kenderaan dalam jangka waktu yang lama terutamanya bagi mereka yang mempunyai kenderaan tetapi penyaman udara tidak mampu untuk bertahan jangka masa yang agak lama.
Hal ini kerana, bahang yang terkumpul di dalam kenderaan boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri anda sendiri.
5) Pemilihan pakaian yang sesuai
Pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap hanya sesuai dipakai ketika musim sejuk atau waktu malam dan sudah pasti ia tidak sesuai ketika matahari berada tegak di atas kepala.
Pemilihan pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang ketika musim panas amat sesuai selain menggunakan topi atau payung bagi melindungi anda daripada panas dan terik cahaya matahari.
Oleh itu, rancang aktiviti seharian anda agar mengurangkan pendedahan terhadap panas dan disarankan sentiasa mengambil langkah pencegahan dengan banyak minum air dan menggunakan kipas atau ada aliran udara jika panas serta mengurangkan aktiviti luar rumah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram