Perkasakan usahawan B40, ibu tunggal dan wanita asnaf


  • Bizz
  • Jumaat, 14 Apr 2023

Seramai 100 usahawan wanita turut hadir dalam pelancaran Liga Usahawan Wanita Selangor baru-baru ini.

PROGRAM Liga Usahawan Wanita Selangor merupakan sebuah acara berimpak tinggi dengan matlamat untuk memperkasakan wanita B40 melalui pembinaan kemahiran, ilmu dan sumber diperlukan dalam menjana pendapatan yang mampan menerusi peluang pekerjaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Keusahawanan, Negeri Selangor, Yang Berhormat Rodziah Ismail, program itu bertujuan untuk membangunkan taraf ekonomi wanita dari keluarga berpendapatan rendah, ibu tunggal dan wanita asnaf dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY).

Program tersebut adalah berteraskan latihan keusahawanan, sokongan mentor dari industri, sokongan kewangan dari segi pinjaman dan geran serta rangkaian strategik komuniti perniagaan.

DSC02503

Penolong Pengarah Unit Usahawan, Intan Nur Aqielah Ismail turut hadir dalam program tersebut.

Pada fasa pertama program itu, seramai 100 usahawan wanita diberikan pendedahan melalui seminar mengenai perniagaan dan 20 orang peserta akan dipilih untuk menyertai kursus bimbingan keusahawanan bersama mentor serta diakhir program 10 orang peserta akan diberi peluang untuk membuat pembentangan perniagaan di hadapan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Alhaj, Raja Muda Selangor.

Di samping itu,antara 10 orang peserta program tersebut bakal dinobatkan sebagai Ikon Usahawan Wanita Selangor dan kriteria pemilihan peserta ialah wanita dari keluarga berpendapatan kurang daripada RM3,600, wanita asnaf dan ibu tunggal serta menjalankan perniagaan di negeri Selangor dan menetap di Selangor.

Dalam majlis pelancaran itu, pihak penganjur turut memberikan pendedahan kepada 100 usahawan wanita tersebut melalui seminar bertajuk "Usahawan Wanita dalam Perniagaan,Peluang dan Cabaran.

Antara panel berpengalaman yang dibawa khas untuk seminar tersebut ialah Rabiatul Adawiyah merupakan seorang usahawan berasaskan makanan dan mendapat latihan di bawah Wanita Berdaya Selangor (WBS), Siti Nabiha, usahawan dalam perniagaan urutan tradisional dan merupakan 10 peserta terakhir Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) dan Lakshwin Muruga daripada Women of Will (WOW) merupakan sebuah organisasi yang memberi latihan pembangunan kepada wanita dari keluarga berpendapatan rendah.

Program tersebut dijadualkan bermula pada Mei sehingga Jun 2023 dan terbuka kepada semua wanita B40, ibu tunggal dan wanita asnaf dari seluruh daerah di Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram