Seni sulaman pis, kraf warisan kebanggaan wanita Sabah


Crisna Mojupi berhasrat untuk mewariskan warisan budaya itu kepada golongan wanita di Sabah.

PAKAR kraftangan Sabah, Crisna Mojupi kini dalam misi untuk meneruskan warisan budaya kepada golongan wanita dalam komunitinya.

Dengan azam untuk mengekalkan kraf tradisional itu, Crisna memutuskan untuk mengajar wanita Rungus di kampungnya kemahiran menjahit sulaman pis dengan harapan mereka boleh mendapat wang tambahan hasil kerja tangan mereka.

Menurut Crisna,54, kebanyakan wanita yang diajarnya dalam kalangan suri rumah, penoreh getah dan petani dengan memperolehi pendapatan hanya RM400 sebulan.

"Pendapatan seperti itu adalah cabaran yang perlu mereka tempuhi untuk menampung kehidupan seharian. Saya berhasrat mengajar mereka kemahiran agar memperoleh pendapatan tambahan di samping mengekalkan kemahiran ini untuk generasi akan datang," katanya.

crisna lead

Bahagian paling sukar mengenai sulaman pis ialah memastikan kekemasan setiap jahitan.

Dia juga pernah menyertai pameran kraf selama dua minggu dan berakhir pada 13 Mac lalu yang menampilkan lebih 300 artis kraftangan tempatan menerusi acara anjuran Kraftangan Malaysia di Kuala Lumpur sempena Hari Kraf Kebangsaan 2023.

Crisna juga mengatakan mempunyai hampir 200 pelajar wanita Rungus berumur antara 20 dan 60 tahun berasal dari sembilan kampung di Kudat dan Beluran, Sandakan.

"Saya amat berbangga kerana ada beberapa pelajar menyertai kraftangan di Borneo dan mereka menjual produk tersebut atas inisiatif sendiri secara atas talian untuk memperolehi pendapatan sampingan.

"Ramai dalam kalangan belia di kampung saya lebih berminat dengan aktiviti moden. Malah, dua anak perempuan saya yang berumur dalam lingkungan 30-an tidak begitu berminat untuk belajar sulaman.

"Seperti orang lain, mereka tidak bersedia untuk mengabdikan diri mereka untuk kerja-kerja sulaman pis yang memakan masa dan intensif buruh. Akibatnya, hanya terdapat segelintir penenun mahir di kampung saya,” kata ibu kepada empat anak itu.

crisna kraf

Bakat Crisna terletak pada kerja sulamannya yang rumit, teliti dan halus.

Sulaman pis dikenali sebagai kain tinohian dalam kalangan masyarakat Rungus. Kain kapas berukuran satu meter persegi yang disulam dengan motif bunga flora dan fauna, dilipat untuk dipakai sebagai penutup kepala dalam kalangan lelaki Rungus.

Selama betahun-tahun, bahan sulaman pis telah berkembang dan berubah menjadi selendang, beg tangan dan barang hiasan dinding, ini kerana ia terkenal dengan warna-warna cerah, reka bentuk yang rumit serta penelitian terhadap setiap perincian.

Kecintaan Crisna terhadap sulaman bermula ketika dia masih muda kerana melihat ibu dan neneknya menjahit rekaan kompleks pada kain hanya dengan menggunakan jarum serta benang.

"Semasa saya meningkat dewasa, saya mula berlatih kraf itu di bawah pengawasan nenek saya. Saya akan menghabiskan berjam-jam setiap hari untuk menyempurnakan teknik saya dan abila saya semakin mahir, saya mula bereksperimen dengan warna serta reka bentuk yang berbeza, mencipta kepingan yang cantik dan unik.

"Ia mengambil masa kira-kira empat bulan untuk menyiapkan sehelai sulaman yang berukuran satu meter persegi,” jelas Crisna, yang juga mahir dalam tenunan tekstil.

Motif Rungus tradisional seperti tinonggiling (sisik temu), kinorinipon (gigi) dan tinabid sulug (ikan) dilukis pada kain kapas dan dia akan menggunakan teknik jahitan satin untuk menyulam corak pada material tersebut.

"Bahagian paling sukar ialah memastikan kekemasan setiap jahitan kerana jika jahitan terlalu ketat, reka bentuk akan kelihatan berperingkat.

"Jahitan satin adalah jahitan klasik yang kelihatan agak mudah. Tetapi ia boleh menjadi satu cabaran untuk mendapatkan kemasan yang licin jika jahitan tidak sekata," kata Crisna yang berasal dari Kampung Lompozou di Kudat.

Di samping itu, pencapaian yang tidak boleh dilupakan oleh Crisna ialah menerima anugerah berprestij Adiguru Kraf Sulaman Pis 2022 daripada Kraftangan Malaysia.

Namun bagi Crisna, ganjaran terbesar ialah melihat tradisi sulaman pis berkembang pesat di kampungnya. Dia akan terus mengajar dan membimbing penenun muda, menurunkan kemahiran dan pengetahuan yang telah diturunkan kepadanya oleh neneknya.

"Selagi ada artisan seperti saya yang sanggup mengabdikan diri untuk itu, tradisi itu akan terus hidup," kongsinya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram