BULAN Ramadan merupakan bulan yang baik bagi setiap orang yang mahu mendidik jiwa untuk melakukan kebaikan terutama amalan bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
Oleh itu, aktiviti yang dijalankan oleh Persatuan Malim Gunung Hulu Langat (PMGHL) sebagai penganjur bersama Pengasas Penjejak Puncak Outdoor berjalan lancar dalam menjayaka Program Amal Kebajikan 'Seiring Ramadan Nikmati Bersama' yang diadakan di International Youth Centre (IYC), Cheras, Kuala Lumpur pada 1 April lepas.
Progam yang diadakan itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu seramai 60 orang anak yatim dari Yayasan Cow Kit (YCK) merealisasikan impian mempunyai baju raya sendiri selain persiapan berbuka puasa bertempat di IYC itu.
Zaleha bersama sukarelawan dalam memeriahkan Program Amal Kebajikan 'Seiring Ramadan Nikmati Bersama'.
Menurut Pengasas Penjejak Puncak Outdoor, Siti Zaleha Daud, 49, setiap tahun mereka akan mengadakan program seumpama itu bagi membantu anak yatim atau golongan ibu tunggal dan warga emas untuk merasai keindahan bulan Ramadan dan Syawal dengan membeli barang keperluan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
"Setiap tahun menjelang bulan puasa kami akan mengadakan program seperti itu untuk membantu seramai 60 orang anak yatim dalam membeli barang keperluan seperti baju raya.
"Saya selaku Pengasas Penjejak Puncak Outdoor mengikuti apa juga program yang dibuat oleh para penganjur, dalam program ini,saya merupakan penaja berbentuk makanan melalui pungutan dana yang diberikan kepada saya," katanya kepada Majoriti.
Zaleha merupakan Pengasas Penjejak Puncak Outdoor.
Walaupun bekerja sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan di Hospital Kuala lumpur, ia tidak mematahkan semangat Zaleha untuk meneruskan minatnya terhadap aktiviti pendakian sejak remaja.
Selain menjadi penaja makanan kepada program tersebut, Zaleha juga merupakan penganjur dalam membuat pendakian yang melibatkan pendaki di seluruh Malaysia untuk mendaki di beberapa buah gunung yang terdapat di negeri Perak, Negeri Sembilan, Sabah, Kelantan dan banyak lagi.
"Ini merupakan kerja sampingan yang saya lakukan pada hujung minggu atau ketika mempunyai cuti kerana perlu bekerja sepenuh masa di hospital.
"Melalui program ini, para pendaki akan membuat pembayaran termasuklah permit, pemandu pelancong (guide), perkhidmatan pacuan empat roda, insurans, makan minum dan sewa khemah disediakan," kata ibu lima anak itu.
Peserta Penjejak Puncak Outdoor mengambil gambar kenangan apabila sampai di Gunung Ledang.
Zaleha juga berkata, menjelang cuti Hari Raya, dia akan membawa kumpulannya untuk membuat pendakian di Perak dan berkhemah di Terengganu dan biasanya peserta yang mendaftar berasal dari negeri Johor, Melaka dan sekitar Kuala Lumpur.
"Untuk masa terdekat ini, saya akan membawa kumpulan saya untuk mendaki di gunung Ulu Sepat, Perak dan seramai 21 orang akan mengikuti pendakian tersebut.
"Selepas raya sudah pasti pelbagai aktiviti yang akan buat seperti mendaki di Gunung Korbu, Gunung Lenggong yang berada di Perak dan berkhemah di Air Terjun Berdebu, Dungun, Terengganu," kata Zaleha yang sudah mempunyai dua orang cucu itu.
Tambahan pula, dia mengatakan tugas sebagai penganjur untuk membawa setiap peserta masuk ke dalam hutan sudah pasti tidak mudah kerana memerlukan penelitian yang cekap, mengambil kira risiko dan mendapatkan permit dari Jabatan Perhutanan agar sebarang kejadian tidak diingin berlaku dapat dielakkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram