SAMBUTAN perayaan Aidilfitri saat dinanti-nantikan untuk diraikan bersama ahli keluarga. Masakan tidak, setelah setahun tidak bersua muka, Syawal menjadi detik terindah untuk saling bertukar cerita.
Selain menyambutnya dengan penuh kesyukuran dan kemeriahan gelak ketawa, kandungan hiburan yang disiarkan di televisyen turut menjadi antara penyeri sekali gus menaikkan lagi mood raya.
Tidak kira sama ada disampaikan secara komedi atau drama air mata, setiap karya mempunyai tarikan tersendiri dan tetap dianggap relevan meskipun sudah beberapa tahun ditayangkan.
Jadi, mari kita sama-sama mengimbau lima naskhah popular yang disenaraikan Majoriti dan tentunya ia masih dingati sehingga ke hari ini.
Ketupat Terakhir
Mengangkat nilai kekeluargaan, drama air mata arahan Rashid Sibir pada 2016 menceritakan tentang kehidupan keluarga Mek Nen yang ingin meraikan Aidilfitri dengan anak lelakinya, Rahim.
Rahim yang dahulu sangat akrab dengan ibunya mula berubah setelah berjaya bekerja di bandar. Dia juga berkahwin dengan Dira. Bagaimanapun pada sambutan hari raya, Rahim tidak dapat pulang berhari raya di kampung.
Sebaliknya dia ingin pergi bercuti ke Paris, Perancis bagi memenuhi permintaan isterinya. Disebabkan itu Mek Nen menjadi kecewa dan berusaha meminta agar anaknya pulang.
Daun Ketupat Kering
Telefilem Daun Ketupat Kering boleh dikatakan antara karya Lebaran paling menarik dan tidak dapat dilupakan. Cerita yang sarat dengan air mata itu membuatkan penonton berasa terharu.
Masakan tidak, lakonan mantap Fauziah Nawi, Datuk Rosyam Nor, Rita Rudaini, Intan Azura dan Rusdi Ramli pasti saja sukar untuk dilupakan oleh penonton.
Kisah menyayat hati apabila empat beradik yang cuba untuk pulang berhari raya bersama. Disebabkan kelewatan di tempat kerja isteri kepada salah seorang adik beradik itu menyebabkan mereka pulang lewat ke kampung.
Malang tidak berbau, kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dan menyebabkan kesemuanya meninggal dunia.
Pondok Buruk
Selepas Ketupat Terakhir dan Daun Ketupat Kering, drama Pondok Buruk arahan Rashid Sibir sebuah lagi kisah tragis Lebaran.
Disiarkan sekitar awal 2000-an, telefilem yang membariskan lakonan mantap Fauziah Nawi, Datuk Rosyam Nor, Datuk Jalaluddin Hassan, Vanida Imran, Allahyarham Ismail Din dan Raja Azura.
Kisah yang meruntun hati itu pasti membuatkan penonton tidak berhenti mengalirkan air mata ditambah perasaan penuh ihsan.
Keadaan dua warga emas yang tinggal di dalam sebuah pondok buruk di tepi sawah tentu saja akan menimbulkan suasana menyedihkan dan menyayat hati.
Rendang Untuk Mertua
Secara asasnya, telefilem ini mengisahkan tentang seorang wanita yang memiliki tiga anak lelaki. Dua daripada anaknya bersetuju untuk berkahwin dengan wanita pilihannya, sementara anaknya yang bongsu menolak.
Disebabkan bukan tersenarai sebagai menantu pilihan, Marina sering mendapat layanan buruk oleh ibu mentuanya termasuk dua kakak ipar. Perkara itu semakin memburuk apabila suami Marina meminta agar dia berhenti kerja dan menjaga ibu mentua di rumah.
Bagaiamanapun, Marina terus menerus mendapat layanan buruk sehinggakan dia dihalau daripada rumah pada waktu malam dalam keadaan hujan lebat. Ketika itu juga Marina sedang hamil.
Naskhah tersebut dibintangi oleh Wan Maimunah, Nur Fazura dan Ezany Nizariff.
Aidilfitri di Bulan Sya’ban
Boleh dikategorikan sebagai sebuah naskhah sedih, namun diselitkan dengan elemen komedi. Mengisahkan tentang seorang pemuda yang dikatakan menghidap kanser dan tidak mampu untuk hidup lama.
Disebabkan itu, dia membuat permintaan terakhir iaitu untuk menyambut hari raya bersama keluarga dan rakan-rakan kerana bimbang ajalnya akan tiba.
Disebabkan simpati dengan nasib pemuda terbabit, dua rakannya bersetuju untuk merealisasikan impiannya itu sekali gus meraikan Syawal di bulan Sya’ban.
Bagaimanapun, doktor memaklumkan bahasa berlaku kesilapan dan pemeriksaan kesihatan itu dan realitinya pemuda terbabit sihat dan bebas kanser.
Disebabkan hal itu, berlaku kekecohan di kampung setelah mereka mengetahui bahawa pemuda terbabit bukanlah menghidap kanser.
Telefilem terbabit dibintangi oleh Rashidi Ishak, Zulkifli Daud (Joey), Shajiry Damery, Ani Mayuni dan Maimon Mutalib. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram