PENDIDIKAN amat penting dalam menjamin masa depan seseorang dalam membantu mencari pekerjaan pada masa ini. Persaingan yang hebat dari seluruh dunia sudah pasti meningkatkan lagi semangat untuk belajar bersungguh-sungguh tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan negara.
Semua orang mempunyai peluang untuk mencapai impian dan cita-cita dalam apa jua bidang yang ditawarkan dalam pengajian. Hal ini kerana, setiap ilmu yang dipelajari mempunyai manfaat agar diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Menerusi perkongsian pelajar Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Reka Fesyen), Lizfiana Samerra anak Tony, dia menjadi individu pertama dalam keluarganya dan mewakili Kampung Orang Asli Sungai Temun, Johor apabila ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
Erra mempunyai impian untuk menjadi seorang pereka fesyen.
Hal ini kerana, remaja berusia 19 tahun yang menjadi kebanggaan keluarganya itu tidak menyangka akan mencapai keputusan begitu baik untuk semester pertamanya.
"Memandangkan saya mempunyai 10 subjek pada semester pertama, saya berusaha lebih kerana risau tidak dapat mengejar apa yang dipelajari terutama topik sukar ialah sejarah seni, budaya dan tamadun.
"Dalam adik beradik, saya satu-satunya anak yang berjaya diterima masuk ke kolej," kongsinya.
Lizfiana atau lebih gemar disebut Erra memberitahu dia memasang impian untuk bergelar pereka fesyen dan sejak kecil memasang impian melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Erra ditawarkan untuk mengikuti kursus di Kolej Widad, Kuantan. Salah sebuah institusi pengajian tinggi dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Erra menjadikan Iris Van Herpen sebagai sumber inspirasi untuk bergelar pereka fesyen terkenal.
"Reka bentuk dan inovasi unik Iris Van Herpen dari Belanja bagaikan motivasi dan memberi ilham untuk saya mengejar cita-cita," katanya.
Pengalaman semasa berada di kolejnya itu sangat menyeronokkan kerana subjek kegemaraannya ialah lukisan figura fesyen yang membolehkan dia meneroka kreativitinya.
"Semasa dalam kelas, pensyarah mengajar kami untuk melukis menggunakan kaki dan ia merupakan pengalaman paling menyeronokkan.
"Selain itu, berada di kolej juga membantu saya untuk mempelajari cara mneguruskan masa dan kerja secara berpasukan," kongsinya.
Tambah Erra, dia perlu berjimat-cermat dalam menguruskan kewangan dari segi makanan, barang keperluan, pengangkutan dan bahan untuk menyiapkan tugasannya.
"Saya cuba sedaya upaya untuk berdikari kerana tidak mahu membebankan dan merisaukan ibu bapa yang tidak pernah berhenti mencari rezeki.
"Mereka adalah penyokong terbesar saya kerana sentiasa menggalakkan saya untuk mengejar impian dan mereka cukup teruja apabila mengetahui nama saya termasuk dalam senarai Anugerah Dekan pada semester pertama, Mac lalu," katanya.
Dia juga berharap dapat membanggakan ibu bapa dan semua orang kampung dengan mengekalkan gred dan menamatkan kursus tersebut dengan cemerlang.— The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram