'Saya baca, anda baca, kita baca', projek khas bantu tingkat penguasaan membaca anak-anak B40


Kanak-kanak membaca buku cerita di majlis pelancaran Projek BacaBaca 2022.

KEMISKINAN dalam pembelajaran atau learning poverty merupakan istilah yang merujuk kepada kanak-kanak yang tidak boleh membaca ayat ringkas pada usia 10 tahun.

Pusat Pengajian Pendidikan di Taylor's University memperjuangkan Projek BacaBaca sejak 2021 yang merupakan satu inisiatif menggandingkan sukarelawan sebagai jurulatih membaca untuk pelajar sekolah rendah golongan B40 dan komuniti yang kurang mendapat akses perkhidmatan pembelajaran disebabkan oleh kemiskinan dan jurang pembelajaran dalam meningkatkan bacaan berikutan Covid-19.

Projek BacaBaca disokong oleh Yayasan Mah Sing dan Twinkl memberikan impak positif kepada kanak-kanak yang terdiri daripada enam komuniti sejak dua tahun lalu iaitu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam, Kota Belud, Sungai Way New Village, Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Batu Ampat, SJK (T) Pusat Telok Datok dan SJK (T) Seaport.

hema

Hema mengatakan sesiapa sahaja yang ingin menjadi sukarelawan amat digalakkan walaupun tidak mempunyai pengalaman mengajar.

Di samping itu, melalui projek tersebut, pendekatan berkesan digunakan untuk menangani jurang literasi yang dihadapi oleh pelajar berumur enam hingga sembilan tahun di kawasan yang disasarkan agar perkembangan tahap penguasaan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu meningkat.

Projek BacaBaca melibatkan tiga peringkat bacaan iaitu emerging, developing dan securing. Ujian diagnostik awal dilakukan untuk menilai tahap bacaan kanak-kanak. Falsafah di sebalik program tersebut ialah 'belajar membaca, membaca untuk belajar' bertujuan agar kanak-kanak membaca dan memahami dengan baik serta mengaplikasikannya ketika berada di alam persekolahan.

Melalui perkongsian daripada pelajar universiti yang juga sukarelawan projek itu, Theevya Ulaganathan berkata, untuk melatih seorang pelajar darjah 3 yang bernama Thulan Santaran dari SJK (T) Pusat Telok Datok, Banting, mempunyai cabaran kerana memerlukan campur tangan orang yang berbeza agar dia kekal fokus sepanjang sesi membaca selama 30 minit.

Hal ini kerana, Thulan didiagnosis dengan selective mutism (bisu terpilih) yang bermaksud salah satu gangguan kecemasan iaitu kanak-kanak tidak dapat bercakap dalam situasi tertentu.

"Thulan mencabar dirinya untuk membaca dan berbahasa Inggeris, saya akan menyediakan latihan peringkat tadika dan permainan seperti memadankan gambar dengan objek serta mengisi tempat kosong.

"Namun begitu, sokongan daripada ibu bapa juga sangat penting dalam peningkatannya," kata Theevya.

Walaupun menghadapi masalah pembelajaran, Thulan berjaya membuktikan peningkatan dalam dirinya apabila menerima hadiah pada majlis anugerah di sekolah kerana mencapai kemajuan ketara dalam prestasi kelas pemulihannya di samping sokongan dan dorongan daripada jurulatih dan ibu bapa.

thulan

Thulan menerima anugerah atas pencapaian dalam peningkatan membaca.

Selain itu, melalui perkongsian daripada seorang ibu tunggal yang juga merupakan penduduk Sungai Way New Village, Sarah Nuraisyah binti Abdullah berkata, dia hanya mengajar Mohamad Adam, anaknya bunyi abjad dan beberapa perkataan mudah seperti dua dan tiga huruf.

"Saya giat mencari program membaca untuk membantu anak dalam penguasaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sebelum dia mula bersekolah rendah disebabkan tidak memberi sebarang respon semasa diajar ketika musim pandemik dan agak hiperaktif.

"Akhirnya mendapat tahu program ini dan anak saya teruja ketika menyertai sesi bacaan mingguan bersama jurulatihnya iaitu Reshvinder Kaur dan mempunyai peningkatan membaca melalui projek tersebut," katanya.

Reshvinder juga merupakan salah satu penyumbang kepada kemajuan membaca walaupun bekerja sebagai timbalan pengarah perhubungan awam. Namun begitu, dia turut menerapkan pengalaman dan kesabaran ketika bersama-sama seusia Adam kerana turut mempunyai anak kecil.

Menurut Ketua Projek BacaBaca dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pendidikan Taylor's University, Hema Letchmanan, beberapa sukarelawan tidak mempunyai pengalaman mengajar dan oleh itu latihan berkala diadakan termasuk aspek menguruskan kanak-kanak, strategi pengajaran dan teknik penyoalan sebelum memulakan sesi membaca.

“Sukarelawan kami terdiri daripada pelajar sekolah menengah, pekerja profesional dan juga pesara. Pedagogi yang kami gunakan juga mudah iaitu saya baca, anda baca, kita baca,” jelasnya.

Tambahan pula, Projek BacaBaca sedang giat merekrut sukarelawan untuk fasa ketiga pada pertengahan April 2023 dengan menyasarkan pelajar berumur enam hingga sembilan tahun daripada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan di seluruh Malaysia dan berjaya membuat perubahan positif dalam kehidupan 150 kanak-kanak dari segi menangani isu kemiskinan pembelajaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram