INDUSTRI hiburan tanah air baru-baru ini dikejutkan dengan berita kemalangan pelakon popular, Fasha Sandha ketika penggambaraan drama berjudul Anak Tuan yang menyebabkan tulang mata kirinya patah kerana terhentak di bucu katil yang tajam ketika melakonkan watak seorang isteri bersama Azhan Rani.
Walaupun mengalami kecederaan, tetapi dia berasakan itu hanyalah dugaan kecil dan merupakan insiden pertama kali sepanjang bergelar anak seni.
Ternyata, Fasha seorang yang sangat komited terhadap tanggungjawabnya apabila dia tetap ingin menyelesaikan baki babak penggambaraan drama Anak Tuan tersebut.
Memiliki perwatakan yang lemah lembut, Fasha mengatakan dia bukanlah seorang yang gemar melakukan aktiviti lasak malah lebih memilih meluangkan masa bersama keluarga.
Fasha bersama keluarga tersayang sempena sambutan ulang tahunnya.
Pelakon berusia 39 tahun itu juga mengatakan, dia juga minat dalam memasak ketika berada di rumah.
"Hobi saya suka memasak, tetapi memasak ini kena ada mood, kita kena happy, kalau tak happy baik jangan masak sebab nanti makanan tak sedap," katanya kepada Majoriti.
Namun begitu,walaupun bukan pengemar aktiviti lasak, dia minat untuk berjoging dan senaman kardio.
"Saya tidak minat aktiviti lasak seperti hiking sebab mungkin ia bukan jiwa saya.
"Tapi kalau joging saya suka,pergi gimnasium dan buat senaman kardio itu dalam 40 minit," kongsinya.
Isteri kepada pelakon Aidl Aziz itu juga berkongsi kegembiraannya kerana diberi peluang dan kepercayaan untuk menjadi Duta jenama tekstil terkemuka, Alfaro.
"Saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan ini dan saya berharap penglibatan saya mampu membuatkan jenama itu dikenali ramai," katanya.
Tambahan pula, Fasha mengatakan mempunyai 30 pasang baju raya untuk dipakai setiap hari menjelang Syawal yang semakin menghampiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram