PERTEMBUNGAN Sabah FC menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat menyaksikan persaingan sengit antara dua kelab teratas Liga Super.
Namun begitu, nasib tidak menyebelahi skuad Sang Badak apabila ditewaskan oleh skuad Harimau Selatan 0-4 sekali gus memberikan tuan rumah membawa pulang tiga mata penuh di halaman sendiri.
Dengan kemenangan itu, skuad Harimau Selatan mencatatkan rekod tanpa kalah sepanjang enam perlawanan dalam saingan Liga Super mengungguli carta dengan 18 mata.
Walaupunanak-anak buah Datuk Ong Kim Swee (DOKS) dilihat cuba menjaringkan beberapa gol namun percubaan itu berjaya digagalkan benteng pertahanan kelab yang berpangkalan di selatan tanah air itu.
Pada masa sama, kehadiran Arif Aiman dan Endrick dos Santos yang turun beraksi pada aksi keenam Liga Super turut berjaya mengucar-ngacirkan corak permainan pasukan Sabah FC.
Hal itu menyebabkan ada dalam kalangan penyokong Sabah FC tidak berpuas hati kerana sebelum ini kedua-dua pemain JDT itu dilaporkan tidak akan diturunkan selepas didakwa mengalami kecederaan ketika bermain dengan pasukan kebangsaan Harimau Malaya.
Lebih membangkitkan kemarahan penyokong Sang Badak lagi apabila tindakan penyerang sayap kiri JDT, Fernando Forestieri dilihat melakukan kekasaran terhadap Ko Kwang-min.
Pada perlawanan tersebut, Forestieri dilihat menolak kepala Kwang-min dan tiada tindakan yang diambil oleh pengadil semasa perlawanan tersebut berlangsung.
Sehubungan dengan itu, rata-rata penyokong mengecam tindakan Forestieri mengasari pertahanan kiri kelab Borneo tersebut.
"Sudah lama kita perhati si Forestieri, dia lah paling provoke, masih ingat perlawanan JDT vs Levski Sofia," kata Sheldon Chang.
"Kita tunggu dia pergi Sabah, kita buat dia macam ikan masin," kata Fandi Bin Abdullah.
"Habis lah dia kalau datang di Likas, Sabah," kata BenLey Sabah.
Skuad Harimau Selatan bakal berkunjung ke Stadium Likas untuk saingan aksi pusingan kedua Liga Super pada 8 Ogos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram