APABILA bulan Ramadan tiba, sudah pasti para wanita mengandung akan mengalami kegusaran dengan pelbagai persoalan yang bermain di minda seperti adakah mereka boleh berpuasa atau tidak.
Persoalan sebegitu akan timbul setiap kali menjelang bulan Ramadan. Hakikatnya, tiada jawapan yang pasti untuk menjawab persoalan tersebut kerana keadaan setiap wanita mengandung adalah berbeza.
Namun begitu, berpuasa ketika hamil boleh dilakukan sekiranya bayi dalam kandungan sihat dan proses kehamilan tidak mempunyai sebarang masalah.
Wanita hamil boleh berpuasa tetapi perlu mengikut kemampuan diri sendiri.
Oleh itu, wanita mengandung disarankan agar tidak berpuasa pada tiga bulan pertama kehamilan. Ini kerana, paras gula dalam darah bagi wanita hamil yang berpuasa adalah lebih rendah berbanding wanita tidak hamil kerana perlu membekalkan gula glukosa kepada bayi dalam kandungan.
Keadaan itu akan menyebabkan mereka lebih cepat keletihan, akan mengalami loya dan muntah-muntah khususnya pada awal kehamilan. Terdapat lima tanda bahaya berpuasa semasa mengandung.
1. Morning sickness atau mabuk ketika hamil
Keadaan normal bagi wanita pada awal kehamilan ialah akan mengalami mabuk hamil pada waktu pagi atau dikenali sebagai morning sickness. Situasi tersebut biasanya ibu hamil akan berasa loya dan muntah-muntah.
Tetapi adakalanya mabuk pagi yang dialami boleh menyebabkan wanita hamil kekurangan tenaga. Jika ia berlaku, anda dinasihatkan untuk berbuka puasa agar mengelakkan perkara buruk dari berlaku.
Sekiranya ibu hamil berkeras untuk kekal berpuasa, dibimbangi akan mengakibatkan kemudaratan kepada janin.
2. Berat badan susut
Sudah pasti bulan Ramadan disukai orang ramai kerana berpuasa mampu membantu menurunkan berat badan. Hal ini disebabkan oleh pengambilan kuantiti makanan yang sederhana ketika berbuka.
Tetapi jika anda tidak mengalami pertambahan berat badan atau berat semakin berkurangan, ia sebenarnya boleh mendatangkan risiko bahaya kepada anda dan juga bayi.
3. Kerap rasa dahaga
Sudah pasti dalam situasi berpuasa akan berasa dahaga. Namun, bagi wanita yang berpuasa ketika hamil, mereka akan berasa dahaga dan akan mengalami air kencing berwarna gelap serta berbau, ia merupakan salah satu tanda penyahidratan.
Hal ini boleh menyebabkan anda terdedah kepada risiko jangkitan saluran kencing atau sebarang masalah berkaitan kesihatan yang lain.
Oleh itu, cara yang terbaik untuk mengelakkan perkara tersebut berlaku ialah tidak perlu berpuasa untuk sementara waktu dan minum air secukupnya.
4. Pening
Jika anda mengalami sakit kepala atau pening, ia adalah petanda yang mana anda berada dalam keadaan sedang tertekan atau keletihan.
Namun begitu, jika anda sedang hamil dan berpuasa, sudah pasti anda akan berdepan dengan keadaan yang pening dan ia merupakan antara tanda bahaya berpuasa yang tidak boleh diabaikan.
Ini kerana, pening yang dialami itu adalah berpunca daripada tahap glukosa darah rendah (hipoglikemia) atau tanda kekurangan zat makanan.
5. Kurang pergerakan bayi
Wanita yang berpuasa pada usia kandungan 28 minggu perlu memantau pergerakan bayi. Hal ini kerana, sekiranya pergerakan bayi agak berkurangan, disarankan untuk berbuka puasa dan mendapatkan pemeriksaan doktor dengan kadar segera.
Ibu hamil perlu peka akan keadaan tersebut jika tidak mahu kehilangan bayi anda. Berpuasa digalakkan tetapi perlu ikut kemampuan diri sendiri dan tidak perlu memaksa untuk menahan lapar seperti orang lain.
Selain itu, berpuasa semasa hamil dibenarkan tetapi perlu menjaga kesihatan sendiri dengan mengelakkan daripada mengalami dehidrasi, tidak melakukan pekerjaan berat dan menghindari tempat atau cuaca yang panas.
Tambahan pula, persediaan awal bagi wanita hamil ialah perlu mengambil makanan yang seimbang untuk memenuhi keperluan nutrisi badan di samping mengamalkan gaya hidup aktif dengan melakukan aktiviti fizikal yang tidak berbahaya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram