Pesakit boleh berpuasa tapi ketahui cara dan jenis ubat yang tidak membatalkan puasa


  • Sihat
  • Isnin, 03 Apr 2023

Pengambilan ubat sepanjang Ramadan boleh tetapi perlu mendapatkan nasihat doktor.

PUASA adalah perkara yang diamalkan secara meluas oleh masyarakat budaya Timur dan Barat.

Bagi umat Islam, puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum dan melakukan sesuatu perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari masuk waktu Subuh sehingga Maghrib iaitu lebih kurang 14 jam sehari.

Berpuasa dapat membentuk disiplin seseorang agar mengambil makanan pada kadar dan waktu yang tertentu sahaja.

Namun begitu, disarankan agar orang yang berpuasa mengambil makanan lengkap serta seimbang semasa berbuka dan bersahur bagi mengekalkan kecergasan diri.

Setiap Muslim akil baligh adalah diwajibkan berpuasa. Namun begitu, mengikut pandangan agama dan perubatan secara khususnya, orang sakit adalah diharuskan untuk meninggalkan puasa sekiranya tidak mampu.

Mereka wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan itu (qada) tetapi sekiranya masih mahu berpuasa, pengawasan rapi diperlukan dan jika ia memudaratkan diwajibkan untuk berbuka.

hamil puasa

Wanita hamil boleh berpuasa tetapi perlu mendapatkan nasihat pakar.

Selain itu, bagi pesakit kronik dan wanita hamil yang mempunyai niat berpuasa, mereka perlu mendapatkan nasihat doktor dan ahli farmasi.

Biasanya,mereka boleh menjalani ibadah puasa dengan baik tapi dengan syarat perlu mematuhi pengambilan ubat, mengawal pemakanan dan mengikut nasihat doktor.

Namun begitu, sudah pasti menjadi persoalan dalam kalangan pesakit atau masyarakat berkaitan batal atau tidak puasa jika mengambil ubat semasa bulan Ramadan. Oleh itu, terdapat beberapa maklumat penting untuk memahami status tersebut.

Perkara yang tidak membatalkan puasa ialah seperti penggunaan ubat titis mata, titis telinga dan cucian telinga tetapi dengan syarat tidak melebihi gegendang telinga, jika ada yang mengambil tablet sublingual, ia perlu diletakkan di bawah lidah dan tidak ditelan.

Selain itu, bagi mereka yang ingin melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan, pembersihan gigi atau memberus gigi dibolehkan tetapi dengan syarat individu berpuasa tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut.

Di samping itu, pendermaan, pemindahan darah atau pengambilan sampel darah untuk ujian makmal, semua jenis suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot, sendi atau salur darah, ubat jenis sapuan (krim atau salap), ubat kumur secara gargle (sehingga air hampir ke tekak), dan ubat terapeutik semburan ke mulut yang tidak melibatkan proses menelan, penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula kawasan buasir pada tempatnya tanpa melibatkan kawasan rongga yang dalam adalah rawatan perubatan yang turut tidak membatalkan puasa.

Nurse inflates urinary catheter bulb with leg drainage bag on sterile field

Penggunaan tiub kateter tidak dibolehkan ketika berpuasa.

Sebaliknya, perkara melibatkan rawatan perubatan yang membatalkan puasa ialah pengambilan ubat jenis biji dan ubat minum serta memasukkan sebarang tiub kecil atau ubat ke dalam faraj termasuk prosedur cucian dan pemeriksaan dalaman vagina wanita, penggunaan sedutan (inhaler) untuk rawatan lelah (asma) atau penyakit paru-paru kronik.

Bukan itu sahaja, memasukkan sebarang tiub kateter iaitu alat pemeriksaan dalam saluran kencing, barium atau ubat pencuci yang dimasukkan sama ada ke dalam saluran kencing bagi lelaki atau wanita dan penggunaan alat seperti enema, tiub supositori (mengawal demam untuk buasir), teropong ke dalam rongga perut (protoscope) atau jari pegawai perubatan yang dimasukkan ke dalam dubur atau rektum untuk pemeriksaan adalah membatalkan puasa.

Sebagai tambahan, pesakit harus peka terhadap tahap kesihatan diri dan perlu bersedia untuk berbuka puasa sekiranya keadaan memerlukan dan perlu mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum membuat pengubahsuaian cara pengambilan ubat dan dos.

Hal ini kerana, terdapat segelintir pesakit yang mengubahsuai cara pengambilan ubat-ubatan mereka semasa puasa tanpa merujuk kepada doktor atau ahli farmasi dan sesetengah mereka langsung tidak mahu mengambil ubat semasa puasa. Keadaan pesakit yang berhenti mengambil ubat semasa berpuasa amat membimbangkan terutama dalam kalangan penghidap penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes dan asma. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram