MALAYSIA merupakan negara yang terkenal dengan kepelbagaian budaya dan agama yang boleh dianuti oleh rakyat.
Setiap agama sudah pasti mempunyai keindahannya yang tersendiri, termasuk agama Islam yang mengajar umatnya supaya hidup aman damai serta menyebarkan kebaikan kepada orang lain meskipun berlainan agama.
Walaupun bukan beragama Islam, pencipta kandungan (content creator) yang dikenali sebagai Low Sok Ying dalam satu hantaran telah menunjukkan satu perbuatan terpuji sehingga menjadi bualan di media sosial.
Hal ini kerana, figura itu berjaya membuka mata masyarakat bahawa Malaysia merupakan negara yang kaya dengan budaya saling menghormati antara satu dengan yang lain terutama berlainan agama, bangsa dan kepercayaan.
Menerusi tangkap layar daripada hantaran video di Tik Tok miliknya. — Tik Tok/lowsokying
Menerusi satu perkongsian daripada hantaran video di Tik Tok miliknya, Sok Ying yang terkenal dalam penghasilan video khususnya tentang budaya bangsa Cina di negara ini berhasil memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia.
Sok Ying berkongsi pengikutnya bahawa dia mencuba berpuasa pada bulan Ramadan dan perbuatannya itu mendapat pujian daripada orang ramai.
Melalui perkongsian video ringkas dan padat itu, dia tetap mengikuti waktu subuh untuk bersahur iaitu pada pukul 5 pagi dan mengisi perut dengan hidangan makanan yang dimasak sendiri olehnya.
Bagi dirinya, dia perlu berusaha berpuasa walaupun sehari sahaja dan turut mengatakan sepanjang seharian berpuasa mempunyai cabaran yang perlu dihadapi olehnya.
Antara cabaran yang dirasakannya ialah sukar untuk bangun awal pagi terutama waktu subuh, pilihan menu sahur yang perlu dimasak, menahan rasa lapar dan dahaga, tarikan hidangan tengah hari iaitu sambal sotong dan tidak dapat melakukan aktiviti fizikal seperti berjoging. Hal ini kerana, dia ingin mengelakkan perkara yang tidak baik berlaku.
"Sepatutnya petang mahu pergi joging, tapi takut pengsan nanti," kongsinya.
Di samping itu, dia juga memilih untuk meluangkan masa melihat keindahan alam semula jadi di kawasan rumahnya berbanding melakukan aktiviti yang melibatkan fizikal.
Namun begitu, dia akhirnya berjaya berpuasa seharian dan mengikut waktu berbuka puasa di sekitar Selangor.
Pengalaman pertama dalam seumur hidup itu membuatkan Sok Ying kagum dengan orang Islam yang mampu bertahan berpuasa seharian apa lagi kalau sebulan.
"Salam Ramadan semua,ini merupakan pertama kali saya cuba untuk puasa dan mungkin juga kali terakhir untuk saya,terlalu susah untuk saya so respect to all of you," kapsyen yang ditulis di ruangan komen Tik Tok miliknya.
Perkongsian yang dibuat itu meraih hampir 60,000 tontonan sejak dikongsikan pada 25 Februari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram