Ramai tidak tahu, ada 5 manfaat berpuasa untuk kesihatan


  • Sihat
  • Khamis, 30 Mac 2023

Berbuka puasa bersama keluarga dan mengutamakan kesihatan pada bulan Ramadan.

PUASA membawa maksud menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkannya mulai dari terbit fajar sehingga terbenam matahari pada bulan Ramadan.

Hukum berpuasa dalam bulan Ramadan adalah wajib bagi umat Islam dan menjadi medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur dalam diri di samping menyuburkan sikap murni dalam diri pelakunya.

Kesihatan merupakan modal utama untuk bekerja, beribadah dan melaksanakan aktiviti lain. Bulan Ramadan banyak mendatangkan kebaikan dunia dan akhirat terutama jika diamalkan dengan sempurna dan penuh keinsafan.

kekal cergas sepanjang puasa

Bersenam pada bulan puasa membantu kesihatan menjadi lebih baik.

Di samping itu, puasa adalah penawar kerana ia boleh merangsang perubahan dalam metabolisme badan dan membantu ke arah kebaikan dalam badan. Ketika berpuasa, organ-organ dalam badan dapat membuang segala kotoran dan toksin.

Oleh itu,terdapat beberapa kebaikan berpuasa terhadap kesihatan.

1) Puasa mencergaskan badan

Walaupun puasa wajib pada bulan Ramadan, namun, ada sesetengah individu berpuasa kerana tertarik dengan kesannya iaitu tisu lemak dan berat badan berkurang secara keseluruhannya. Oleh itu, berpuasa menyumbang kepada komposisi badan yang lebih baik melalui pelbagai cara iaitu tindakan hormon dan metabolisme lemak.

2) Tingkatkan tahap kekenyangan walaupun makan sedikit

Seperti yang diketahui, tisu lemak dalam badan berfungsi sebagai sejenis organ endoktrin iaitu menghasilkan beberapa jenis hormon seperti Leptin. Leptin memberi kesan kepada tahap kekenyangan yang mana sekali gus dapat mengawal selera makan seseorang itu.

Leptin adalah hormon yang dihasilkan oleh sel-sel lemak dalam badan yang juga dikenali sebagai hormon kenyang.

Tahap leptin dalam badan menurun pada peringkat awal namun apabila berat menurun, rintangan terhadap leptin juga berkurangan menjadi lebih responsif kepada leptin meningkatkan tahap kekenyangan.

3) Puasa mengurangkan keradangan

Keradangan merupakan punca kepada penyakit kronik seperti penyakit jantung, darah tnggi, angin ahmar dan obesiti. Selain itu, keradangan boleh disebabkan oleh banyak faktor antaranya diet yang tidak sihat iaitu makanan yang diproses.

Makanan terproses menghasilkan banyak radikal bebas dan kekurangan nutrien penting yang diperlukan oleh badan. Berpuasa mengurangkan keradangan dengan cara memperbaiki keseimbangan hormon dan menyebabkan sel badan lebih berdaya tahan terhadap stres oksidatif.

4) Puasa menambahbaik kesihatan kardiovaskular

Berpuasa mempunyai banyak kebaikan kepada kesihatan kardiovaskular terutamanya kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan sindrom metabolik. Selain itu, berpuasa memperbaiki fungsi kardiovaskular, komposisi darah dan tekanan darah.

5) Puasa mengurangkan tekanan darah dan tahap gula

Ketika berpuasa, tekanan darah dalam badan manusia akan menurun terutamanya dalam minggu pertama berpuasa. Tekanan darah rendah berlaku kerana pengurangan pengambilan garam secara mendadak dan peningkatan kehilangan garam melalui proses pelawasan (kencing).

Di samping itu, berpuasa juga akan menurunkaan kadar hormon insulin dalam darah dan memperbaiki tahap sensitiviti sel terhadap insulin yang amat penting dalam mengawal selia kandungan gula dalam darah. Keadaan ini penting untuk mencegah dan mengawal penyakit kencing manis. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram