BULAN Ramadan sudah pasti lebih memberi cabaran kepada individu yang gemar melakukan aktiviti fizikal atau luar seperti memancing keran aktiviti tersebut mempunyai cabarannya yang tersendiri, namun bergantung kepada seseorang individu tersebut.
Menerusi perkongsian seorang penggemar aktiviti memancing, Ariff Alias daripada hantaran video di laman Facebook, Fishing Buddies Academy mengatakan tentang tips memancing semasa bulan puasa yang perlu diambil tahu oleh para pengemar memancing.
Tidak semua pemancing akan meneruskan hobi itu kerana cabaran pada bulan puasa tetapi, tidak bagi dirinya memancing bukan satu hobi tetapi komitmen.
"Mungkin orang lain anggap memancing adalah hobi, berbeza dengan saya, ia adalah satu komitmen", katanya.
Dia yang juga mempunyai pengalaman memancing pada bulan puasa merasakan ia satu cabaran baharu buat dirinya.
Hal ini kerana terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira jika ingin memancing sepanjang Ramadan.
"Memancing pada bulan puasa adalah satu cabaran yang mana biasanya bulan ini kita lebih banyak jumpa matahari berbanding hujan.
"Saya mempunyai pengalaman memancing di laut dalam waktu yang panjang bermula pukul 10.30 pagi hingga 6 petang dan berbuka puasa mengikut kawasan, contoh di Sabah adalah pukul 6.15 petang," katanya.
Di samping itu, jika anda ingin memancing pada bulan puasa, pastikan memantau keadaan cuaca terlebih dahulu dan pastikan awan-awan agak redup sebelum ke lokasi memancing.
Hal ini kerana, jika turun pada waktu panas terik, ia sudah pasti akan menganggu ibadah puasa itu.
Ramadan bukan penghalang untuk meneruskan aktiviti memancing. — Facebook/Mohd Ariff Alias
Arif turut berkongsikan pengalaman ketika memancing pada bulan Ramadan yang sememangnya penuh dengan cabaran dan dugaan.
"Kawasan saya memancing tiada bumbung dan cuaca sangat panas, memang ada perasaan mahu balik, keadaan terik namun saya tetap bertahan memancing sehingga waktu berbuka dan hanya minum air kosong dahulu," katanya.
Selain itu, dia juga menasihatkan kepada pengemar aktiviti itu agar tidak membawa makanan atau minuman ketika bulan Ramadan.
"Kalau menaiki bot, jangan bawa makanan dan minuman, sebab kalau contoh kita mengalami dehidrasi dan bawa air dengan niat, kalau tidak tahan sangat baru minum air, tetapi adalah lebih baik kalau bertahan berpuasa, tidak perlu bawa air dengan alasan yang boleh membatalkan puasa itu.
"Kalau tidak tahan boleh balik, risau kalau tak tahan sangat akan membatalkan niat berpuasa," katanya.
Namun begitu, pada bulan Ramadan, adalah dinasihatkan agar tidak memancing dalam tempoh yang panjang dan perlu hadkan aktiviti itu dalam dua atau tiga jam sahaja.
Tetapi, bagi pemancing tegar sudah pasti mahu meluangkan masa memancing dalam tempoh yang lama namun dinasihatkan untuk tetap mengingati ibadah.
Cabaran dalam bulan puasa jika melakukan aktiviti memancing tersebut adalah tidak dapat menahan rasa haus ketika berada di kawasan yang sememangnya panas terik kerana keadaan cuaca tidak menentu sama ada hujan atau tidak.
"Cabaran utama adalah sudah pasti badan masih bertenaga tetapi tidak dengan tekak,lapar memang tidak tetapi dengan keadaan cuaca apa lagi di kawasan yang terbuka dan tiada pokok tapi bergantung kepada kemampuan diri sendiri," kongsinya.
Antara cabaran lain ialah memancing ketika waktu hujan sudah pasti besar dugaan kerana ikan tidak timbul lebih-lebih lagi jika menggunakan umpan tiruan.
Ini kerana penggemar aktiviti itu perlu mengetahui tentang waktu kemuncak yang bermaksud pemancing perlu tahu masa ikan akan aktif untuk mencari makan dan biasanya pada awal pagi atau lewat petang, terutamanya di kawasan tasik dan lombong yang tidak dipengaruhi oleh air pasang surut.
Tambahnya lagi, pemancing tidak digalakkan untuk memancing kawasan yang dipengaruhi oleh air pasang surut antaranya muara, laut dan tepi jeti.
Selain itu, pemilihan rod juga memainkan peranan penting dalam memancing kerana ia akan menentukan hasil tangkapan. Di samping itu, adalah dinasihatkan untuk membeli peralatan yang perlu sahaja dan tidak perlu beli benda yang melebih-lebih.
"Beli peralatan pancing perlu ikut kemampuan bukan kehendak, apa yang penting ialah peralatan itu dapat membantu kita mejadi pemancing yang baik.
Strategi memancing perlu tahu bila masa yang sesuai perlu kita keluar memancing, faktor-faktor yang perlu diambil kira seperti keadaan cuaca dan air.
Jika anda ingin keluar memancing pada waktu pagi atau selepas subuh,anda perlu peka terhadap keadaan cuaca.
"Contohya, keadaan cuaca tidak baik iaitu hujan bermula semasa sahur atau subuh dan berlarutan sehingga pukul 9 pagi, digalakkan untuk tidak meneruskan niat memancing tersebut kerana waktu itu ikan tidak aktif kecuali selepas subuh hujan berhenti dan nampak matahari sudah atas kepala boleh memancing," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram