Usia 7 tahun Dr Ahmad Shamsuri sudah berdikari, jauh dari keluarga demi mencapai impian


Kejayaan tercapai jika tidak berputus asa walaupun mempunyai kekurangan dalam diri.

KEKURANGAN bukan penghalang untuk seseorang mencapai cita-cita dan impian dalam kehidupan apabila dikaitkan dengan gelaran Orang Kurang Upaya (OKU).

Walaupun cacat penglihatan sejak kecil, siapa sangka mampu menjadi seorang pensyarah di sebuah universiti terkemuka iaitu Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Perjuangan dalam kehidupan dan pendidikan bermula daripada usia tujuh tahun sudah berhijrah demi menuntut ilmu di sebuah sekolah khas asrama penuh di Johor.

Demi mengejar cita-cita dan impian, anak jati Kelantan itu sanggup berjauhan dengan keluarga dan pernah menaiki kereta api sendiri walaupun masih berusia muda, namun dia jadikan ia sebagai cabaran yang perlu ditempuhi.

Pensyarah kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Dr Ahmad Shamsuri Muhamad dilahirkan cacat penglihatan namun tetap tabah menerima keadaan itu dan menganggap ia sebagai satu kelebihan untuk dirinya.

Kekuatan yang dimiliki untuk terus melangkah jauh dalam dunia pendidikan sudah pasti adalah dorongan dan sokongan daripada keluarga terutamanya ibu bapa agar meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

WhatsApp Image 2023-03-21 at 20.47.26

Dr Ahmad Shamsuri buktikan boleh berjaya walaupun digelar OKU.

Hal ini kerana, keluarganya menganggap bahawa hanya pendidikan yang mempunyai masa depan cerah dan mampu mengubah nasib seseorang tanpa mengira latar belakang.

"Jika kita mengalami keadaan yang stres dan kecewa, anggaplah ia sebagai cabaran untuk tidak cepat berputus asa dalam mengejar impian," katanya kepada Majoriti 7.

Menurut pensyarah kanan yang berumur 41 tahun itu, golongan OKU sukar memperoleh pekerjaan yang mana memberi kesan buruk terhadap kehidupan individu itu antaranya tidak dapat membeli rumah sendiri atau mendapatkan rawatan di pusat kesihatan terbaik.

Menerusi pengalaman yang dikongsikan, beliau merupakan salah seorang ahli Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) yang menjaga bahagian penerbitan bahan bacaan Braille.

Di samping itu, beliau juga berhasrat untuk meningkatkan akses bahan bacaan kepada golongan cacat penglihatan dan menggalakkan Braille sekali gus menyediakan banyak material.

"Golongan OKU perlu menjadi insan yang gigih dan kuat dalam menghadapi kehidupan seharian selain perlu mempunyai sokongan yang bagus daripada pelbagai pihak sama ada keluarga, rakan-rakan atau masyarakat," katanya kepada Majoriti 7.

Cabaran yang dihadapi menjadi pemangkin dalam dirinya untuk berjaya sama seperti orang lain. Hal ini terbukti apabila dia mampu memiliki Ijazah Kedoktoran Kaunseling (PhD) di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram