PERNAH berdepan serangan jantung yang hampir meragut nyawa apabila pembuluh darah jantungnya tersumbat lebih 90 peratus, Airulmi Mokhtar bangkit melawan penyakit itu dengan melakukan maraton penuh (42 kilometer) pada 5 Mac bagi acara Maraton Tokyo 2023.
Berikut merupakan kisah yang dikongsikan oleh Airulmi setelah terpilih dalam kejohanan tersebut yang melibatkan pelari dari serata dunia berjaya diterima melalui pendaftaran secara undi dilakukan.
Namun, impian beliau untuk berlari ketika itu tidak kesampaian kerana pandemik Covid-19 melanda menyebabkan pihak penganjur membatalkan acara tersebut dan penyertaannya telah dibawa ke acara tahun ini.
Pada acara yang merupakan antara enam kejohanan maraton bertaraf dunia dan diiktiraf oleh Abbot World Marathon Majors itu, Airulmi, 46, berjaya menamatkan larian walau dalam keadaan cuaca sejuk, lapan darjah Celsius dengan catatan masa enam jam 13 minit.
"Awalnya, saya tidak menyangka nama saya terpilih kerana itu impian lama saya untuk berlari di satu daripada acara maraton paling sukar disebabkan permintaan penyertaan yang tinggi. Jadi, ketika itu keadaan saya masih sihat dan bersemangat serta sentiasa melakukan latihan larian seperti biasa.
"Tiba-tiba, dua minggu sebelum bermula acara, penganjur umum ia dibatalkan kerana Covid-19. Saya kecewa kerana segala persiapan telah dibuat termasuk latihan, tiket penerbangan dan penginapan di Tokyo telah ditempah,” katanya.
Airulmi mengibarkan Jalur Gemilang selepas menamatkan maraton di Tokyo. — Instagram/al_rumie
Bagaimanapun, Airulmi yang berasal dari Johor Bahru, Johor berkata, perancangan Tuhan itu lebih mengetahui apabila selang seminggu dari tarikh acara maraton yang dibatalkan itu, dia terkena serangan jantung sebanyak dua kali semasa melakukan aktiviti larian.
"Pada hari Ahad, kali pertama ketika saya melakukan larian pemulihan, tiba-tiba sesak nafas dan hampir terjatuh. Masa itu saya tak pasti ada sakit jantung, ingatkan asma jadi saya pergi klinik ambil rawatan nebulizer.
"Hari Isnin selepas solat isyak saya cuba lagi sekali berlari kerana tidak puas hati apa masalah saya semalam dan kali kedua ia berlaku saya hampir pitam. Keesokkannya saya ke hospital buat pemeriksaan, akhirnya doktor mengesahkan pembuluh darah jantung saya tersumbat,” katanya.
Bapa kepada dua anak itu berkata, beliau bersyukur kerana penyumbatan itu bukan 100 peratus dan beliau dinasihatkan doktor hanya perlu melakukan prosedur memasang stent berbanding pembedahan.
"Bayangkan kalau saya pergi dan ditakdirkan Maraton Tokyo berlangsung pada Mac 2020 itu, mungkin situasi yang jauh lebih teruk kepada saya terjadi. Pada masa sama, saya juga hampir putus harapan, apakah saya mampu lagi menyertai larian jarak jauh selepas ini?.
"Sebaliknya, selepas mengikuti pemulihan kardiologi, diet, pengambilan ubat dan mengikuti latihan larian yang sesuai, Alhamdulillah saya kembali boleh berlari seperti dulu,” katanya yang pernah juga menyertai acara maraton antarabangsa lain seperti Gold Label, Singapore Marathon 2018 dan Chiang Mai Marathon 2017.
Ditanya punca beliau terkena serangan jantung, Ketua Pembangunan Perniagaan di sebuah GLC (syarikat berkaitan kerajaan) itu berkata, senario tersebut berkemungkinan berlaku kerana gaya hidup dahulunya yang pernah merokok, obesiti sehingga berat 105 kilogram selain stres sebelum berubah mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif berlari sejak 2016.
Sementara itu, Pakar Perubatan dan Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Ara Damansara, Dr Zubin Othman Ibrahim berkata, peluang untuk seseorang pesakit jantung untuk kembali aktif dan normal adalah tinggi, bergantung kepada rawatan awal dan tidak berlaku kerosakan yang serius pada jantung.
"Yang paling kita tidak mahu pesakit yang telah menerima rawatan dan mengikuti pemulihan, tetapi selepas itu dia tidak berbuat apa-apa senaman jadi kemungkinan timbul masalah penyakit lain pula seperti obesiti dan darah tinggi.
"Sebaliknya dengan bersenam ia akan menambah baik jantung dan peparu kita,” katanya yang turut mengesyorkan supaya individu berusia 35 tahun ke atas melakukan saringan kesihatan awal walaupun aktif dan tidak pernah mengalami sebarang penyakit kerana selain faktor pemakanan, serangan jantung juga boleh berlaku disebabkan genetik. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,