PELAKON kontroversi, Hafidz Roshdi mengakui sudah dua minggu tidak berjumpa dengan dua anaknya.
Kata Hafidz, 29, sebagai bapa, dia amat merindui kedua-dua anaknya, Humairah dan Umar.
"Kepada kedua-dua anak saya, Humairah dan Umar, abah rindu dan sayang kalian berdua, dan tidak pernah sesaat pun abah lupakan kalian.
"Buat keluarga saya, terima kasih kerana menjadi tulang belakang Hafidz selama ini, dan sentiasa bersama Hafidz dalam apa jua keadaan dan situasi. Terima kasih banyak-banyak," ujarnya yang hadir di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu, Selangor pada Isnin.
Hafidz menerusi kenyataan yang disediakan lebih awal turut memberitahu, dia menerima ujian hidup dan apa yang berlaku pada hari ini dengan sabar serta tabah.
"Saya akan terus melangkah setapak demi setapak, sehingga saya lebih berjaya berbanding sebelum ini," katanya lagi.
Hafidz bersama dua anaknya Humairah (kiri), 6 dan Umar, 2.
Di samping itu, pelakon filem Pusaka berkenaan turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang banyak menyokong dan memberi kata semangat.
"Tidak pernah terlintas di lubuk fikiran saya bahawa pada hari ini saya berada di mahkamah kerana dituduh mencederakan orang yang saya sayangi.
"Saya adalah seorang manusia, sama seperti anda, yang inginkan kebahagiaan sehingga ke penghujungnya. Namun, hari ini, adalah satu episod yang paling suram dalam hidup saya," katanya yang reda dengan apa yang ditakdirkan.
Dalam pada itu, Mahkamah Majistret memerintahkan Hafidz dihantar ke Hospital Tanjong Rambutan, Perak bagi menjalani pemeriksaan psikiatri.
Perintah dikeluarkan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak selaku Majistret, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar bagi pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.
Hafidz hadir bersama peguamnya, Datuk Akbardin Abdul Kader. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram