PERGOLAKKAN rumah tangga pelakon Hafidz Rosdi berdepan tragedi apabila dia ditahan polis bagi membantu siasatan atas dakwaan menumbuk isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.
Kejadian dipercayai berlaku di kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Buloh, Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Hafidz ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari pada Sabtu ketika dia hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor.
“Buat masa ini polis sudah mengambil keterangan mangsa, dua saksi dan suspek.
Hafidz menumbuk muka Shuhada sebanyak tiga kali sehingga menyebabkan wanita itu menerima 10 jahitan.
“Siasatan lanjut akan dilakukan dan berkemungkinan mangsa akan dipanggil semula untuk memberi keterangan lagi pada Ahad,” jelasnya.
Hussein turut mengatakan pelakon berusia 29 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis sebaik sahaja keterangan diambil pada hari sama.
Dalam pada itu, Hussein mengesahkan menerima laporan awal perubatan mangsa yang mengalami kecederaan pada pipi kiri.
Pihaknya turut mendapatkan surat perintah mahkamah sementara pada Isnin bagi menghalang pelakon drama Aku Seorang Perempuan itu daripada mendekati mangsa sepanjang tempoh siasatan dilakukan.
Hussein Omar Khan
Untuk rekod, Hafidz didakwa mencederakan Shuhada dengan menumbuk sebanyak tiga kali pada wajah dipercayai selepas berlakunya pertengkaran.
Susulan insiden itu, Shuhada dibawa ke hospital oleh ahli keluarga dan mendapat 10 jahitan.
Pelakon itu turut melafaz cerai terhadap wanita itu menerusi panggilan telefon pada 22 Februari manakala Shuhada menfailkan proses pengesahan lafaz cerai di mahkamah syariah pada 28 Februari.
Kedua-duanya berkahwin pada 30 April 2016 dan dikurniakan dua anak iaitu Humairah, 6, dan Umur, 2. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram