Ruang berbaik sentiasa terbuka sampai bila-bila — Hafidz Roshdi


  • Hiburan
  • Isnin, 13 Mac 2023

Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan bekas isteri, Nurul Shuhada.

PELAKON Hafidz Roshdi memberitahu dia akan mencari jalan berdamai dengan bekas isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri bagi memperbaiki hubungan mereka.

Hafidz, 29, memberitahu perkara tersebut selepas keluar daripada Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu, Selangor atas dakwaan mencederakan bekas isterinya di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya pada awal Mac.

Pemilik nama lengkap Muhammad Hafidz Roshdi turut memberitahu masih mencintai bekas isterinya dan dalam usaha untuk memperbaiki rumah tangga mereka.

"Ya masih. Peluang untuk berbaik dengannya sentiasa terbuka sampai bila-bila," katanya selepas keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu pada Isnin.

Dalam pada itu, Hafidz juga tidak akan mengambil tindakan terhadap individu yang mengeluarkan kenyataan kecaman dan makian berunsur fitnah kepadanya.

"Saya memaafkan semua dan tidak terlintas untuk ambil tindakan. Biarlah apa yang mereka ingin katakan.

"Dosa menfitnah itu lebih besar daripada membunuh dan dan saya maafkan mereka semua," ujarnya.

Sementara itu, Hafidz yang mengaku tidak bersalah atas dakwaan mencederakan bekas isterinya diperintahkan untuk mendapatkan pemeriksaan dan laporan kesihatan mengenai tahap kesihatan mental di Hospital Tanjong Rambutan, Perak.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan satu penjamin bersama syarat tambahan mendapatkan rawatan dan laporan kesihatan di Hospital Tanjong Rambutan, dilarang mengganggu mangsa dan menyerahkan passport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Terdahulu, Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 2.

Namun pada Februari lalu, media tempatan melaporkan dia sudah menceraikan Nurul dengan lafaz talak satu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram