Pejuang rakyat atau kepentingan politik? Jom tonton 5 filem tokoh pemimpin dunia


  • Hiburan
  • Selasa, 07 Mac 2023

Antara babak filem The Queen memaparkan tentang reaksi Ratu Elizabeth II ketika mengetahui berita kematian Puteri Diana pada 1997. — Agensi

KHABAR tentang tokoh politik atau pemimpin negara sering menjadi buruan media dan masyarakat.

Bukan sahaja melibatkan hal takbir urus, perkara berkaitan dengan peribadi juga menarik ribuan mata tertumpu ke arah mereka.

Sebahagian daripada kisah mereka diketahui umum kerana mendapat liputan media. Namun, tidak semua hal diceritakan secara terbuka demi menjaga kepentingan masing-masing.

Disebabkan itu, penonton tidak sabar menantkan filem mengenai pemimpin diangkat ke layar perak.

Berikut antara filem antarabangsa yang mengisahkan tentang tokoh pemimpin negara serata dunia di layar perak:

Mandela: Long Walk To Freedom, 2013

Mandela_-_Long_Walk_to_Freedom_ZA_poster

Kisah pemimpin Nelson Mandela diangkat sebagai naskhah filem arahan Justin Chadwick.

Berdasarkan perjuangan Presiden Afrika Selatan mengenai kehidupan awal, pendidikan, politik dan usaha membangunkan negara termasuk perjuangan hak masyarakat kulit hitam.

Filem ini dibintangi oleh Idris Elba, Naomie Harris, Tony Kgorage, Riaad Moosa, Jamie Bartlett, Terry Pheto dan Deon Lotz.

Gandhi, 1982

515vimCIb-L._AC_UF894,1000_QL80_

Gandhi merupakan sebuah filem biografi diterbitkan pada 1982 dan memperlihatkan aktor Ben Kingsley sebagai Mahatma Gandhi.

Filem berkenaan berawal dengan latar masa sekitar 1948 apabila menyaksikan Gandhi bertemu dan bersalaman yang masyarakat setempat.

Selanjutnya ‘tirai’ penceritaan dimulakan ketika Gandhi berusia 23 tahun sekitar 1883. Filem mengenai tokoh politik yang popular dengan kata-kata inspirasi itu bermula apabila diusir daripada menaiki gerabak kereta api kelas pertama disebabkan dia satu-satunya penumpang berbangsa India.

Tidak berpuas hati dengan penindasan itu, Gandhi kemudian melancarkan bantahan dan berusaha melindungi hak masyarakat India yang menetap di Afrika Selatan.

Selain Kingsley, filem ini turut dibintangi oleh Rohini Hattangadi, Roshan Seth, Saeed Jaffrey, Virendra Razdan, Candice Bergen dan Edward Fox.

The Queen, 2006

The_Queen_movie

Mendiang Ratu Elizabeth II menjadi antara figura diraja yang mendapat perhatian popular dunia.

Filem ini memaparkan tentang usaha Ratu Elizabeth II yang berhadapan dengan kisah kematian Puteri Diana yang ketika itu bukan lagi menjadi sebahagian daripada ahli keluarga diraja Britain.

Pergolakkan Sang Ratu yang perlu berhadapan dengan kritikan masyarakat, skandal dan konflik politik terhadap perkhabaran itu.

Lakonan hebat Helen Mirren yang melakonkan watak Ratu Elizabeth II. Setiap paparan babak dijelaskan secara terperinci khusunya terhadap permainan emosi dan cara kerabat diraja Britain menguruskan berita mengenai kematian Diana yang menghiasi muka depan akhbar di seluruh dunia pada 1997.

Filem arahan Stephan Frears itu turut dilakonkan oleh Michael Sheen, James Cromwell, Helen McCrory dan Alex Jennings.

W, 2008

MV5BMTkzMzg3NjM3OV5BMl5BanBnXkFtZTcwNTY1MzUzMw@@._V1_

Jika beberapa filem berkisahkan tokok politik memiliki plot penceritaan yang serius, naskhah arahan Oliver Stone ini malah sebaliknya.

Filem drama-komedi ini mengisahkan tentang bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush.

Penceritaan bermula ketika Bush berusia sekitar 20-an dan masih menuntut di Universiti Yale, Amerika Syarikat (AS).

Setelah itu cerita diteruskan dengan keputusan Bush yang ingin menyertai kongres dan seterusnya serius dalam bidang politik.

Beberapa babak yang menunjukkan Bush berusaha untuk memperbaiki kehidupannya yang kaki minum dan kurang berkomunikasi dengan bapanya.

Filem tersebut dibintangi oleh Josh Brolin, Elizabeth Banks, James Cromwell, Ellen Burstyn, Richard Dreyfuss, Jeffrey Wright dan Scott Glenn.

Downfall, 2004

download (1)

Filem Downfall atau dalam bahasa Jerman, Der Untergang merupakan karya arahan Oliver Hirschbiegel yang menceritakan tentang pemimpin Adolf Hitler. Dia antara tokoh politik dunia yang banyak memainkan peranan sewaktu Perang Dunia Kedua.

Membuka tirai dengan latar masa sekitar 1942, Hitler mengadakan sesi temuduga bagi mengisi kekosongan sebagai setiausaha peribadinya.

Selang dua tahun kemudian, pergolakkan tercetus dan peperangan bermula.

Filem tersebut menceritakan tentang kehidupan Hitler dalam ketenteraan dan sisi peribadi termasuk bagaimana dia berhadapan dengan zaman kejatuhannya.

Plot penceritaan yang serius dan diselitkan dengan beberapa babak tegang tentu sahaja membuatkan penonton berdebar untuk mengetahui pengakhiran cerita.

Dilakonkan oleh Bruno Ganz, Alexandra Maria Lara, Corinna Harfouch, Ulrich Matthes, Juliane Kohler, Heino Ferch dan Christian Berkel. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram