Anak alami masalah 'speech delay', ibu bapa perlu ambil tahu cara atasinya


  • Sihat
  • Isnin, 06 Mac 2023

Kanak-kanak yang lewat pertuturan dikatakan mengalami gangguan mulut antaranya masalah dengan lidah atau lelangit dan frenulum pendek.

IBU bapa pasti bimbang jika anak masih sukar bertutur walaupun sudah berusia tiga tahun. Secara lazimnya, kanak-kanak yang berusia dua tahun boleh menyebut sekitar 50 perkataan dan bertutur dalam ayat yang mengandungi dua hingga tiga patah perkataan.

Namun, apabila mencecah tiga tahun, perkataan mereka akan meningkat hampir 1,000 perkataan. Sekiranya anak masih belum mencapai perkembangan tersebut, mungkin anak anda mengalami keadaan lewat pertuturan (speech delay).

Dalam keadaan tersebut, sudah pasti ibu bapa tertanya-tanya sebab utama masalah itu. Namun, punca tersebut boleh berlaku disebabkan oleh gangguan pendengaran, neurologi mahupun perkembangan.

Sehubungan itu, terdapat perbezaan antara lewat pertuturan dan lewat bahasa (language delay). Pertuturan adalah ungkapan lisan bahasa dan merangkumi artikulasi iaitu cara dalam membentuk bunyi dan perkataan.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membantu anak-anak yang mempunyai kesukaran untuk bercakap.

WhatsApp Image 2023-03-05 at 9.11.52 PM

Ibu bapa perlu membantu anak-anak untuk bertutur dengan baik.

Berikut antara cara yang boleh digunakan ibu bapa di rumah.

Ibu bapa perlu memberi fokus utama kepada komunikasi iaitu dengan cara bercakap dan bernyanyi serta menggalakkan anak mereka meniru bunyi atau isyarat.

Selain itu, ketika anak masih bayi, ibu bapa perlu membiasakan dengan membaca buku cerita walaupun anak mereka tidak memahami apa yang disampaikan namun ia dapat membantu perkembangan anak-anak.

Di samping itu, dalam situasi harian, ibu bapa juga digalakkan untuk berbual sepanjang hari dengan anak mereka mengenai apa yang dilakukan seperti ketika memakaikan pakaian kepada anak agar mereka terbiasa dengan bahasa harian yang digunakan.

Sebagai fakta tambahan, antara simptom anak alami lewat pertuturan seperti gangguan mulut iaitu mempunyai masalah dengan lidah atau lelangit dan frenulum pendek (lipatan bawah lidah) yang boleh mengehadkan pergerakan lidah.

Keadaan kelewatan pertuturan bukan satu masalah besar kerana kanak-kanak mempunyai fasa perkembangan yang tersendiri. Namun, ibu bapa digalakkan membawa anak berjumpa dengan pakar untuk mendapatkan nasihat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram