Kepulangan 'pair' Azrif ditagih sebelum pertembungan Sri Pahang-Selangor


  • Podium
  • Ahad, 05 Mac 2023

Azrif (tengah) masih mencari rentak bersama Sri Pahang FC sejak menyertai mereka ketika jendela perpindahan lalu. — Facebook/Sri Pahang FC

SRI Pahang FC berdepan tekanan dalam saingan ketiga Liga Super apabila dijadualkan untuk bertemu dengan skuad Selangor FC yang dikatakan semakin rakus dalam mencari mata kemenangan.

Pada perlawanan aksi pertama Liga Super, skuad Tok Gajah terpaksa berpuas hati untuk berkongsi mata selepas sekadar mencatat keputusan seri ketika menentang Negeri Sembilan FC (NSFC).

Namun, skuad Tok Gajah berjaya meraih tiga mata ketika perlawanan kedua menentang Kelantan FC dengan kemenangan 4-1 pada Khamis di laman sendiri.

Ketajaman jentera serangan Sri Pahang FC dipamerkan dalam pertembungan itu yang mana mereka mudah menembusi benteng pertahanan skuad The Red Warriors (TRW).

Bagaimanapun, dengan Selangor FC masih tidak dibolosi setakat ini, ia merupakan satu cabaran buat anak-anak buah Fandi Ahmad untuk terus mendaki tangga Liga Super.

Bagi berdepan anak buah Tan Cheng Hoe, penyokong Tok Gajah sudah mula bersuara apabila mahu melihat gandingan antara Azrif Nasrulhaq dan Shamie Izuan yang dikatakan mampu membantu Sri Pahang menentang Gergasi Merah pada Ahad.

326003284_830309168064066_887659109426571195_n

Shamie masih menunggu untuk mendapatkan penampilan pertama Liga Super bersama Sri Pahang FC. — Facebook/Sri Pahang FC

"Harap lawan Selangor nanti boleh main..padu ini pair dengan Azrif," kata Naim Mohmed.

Reaksi itu hadir selepas Sri Pahang FC memuat naik video Shamie menjalani latihan bersama Tok Gajah.

Malah ada yang menyifatkan Shamie mempunyai bakat yang besar untuk diketengahkan Fandi.

"Dia sedap main, berani bawa bola, cuma cross (hantaran silang) kena perbaiki lagi," kata Ahmad Ardamizal.

Pemain kelahiran Kuching, Sarawak itu dibawa masuk ketika jendela perpindahan lalu selepas kontraknya bersama skuad Ngap Sayot dibatalkan berikutan isu pengurusan.

Kecemerlangan yang dipamerkan Shamie ketika aksi Piala AFF 2022 menjadi antara punca dia dibawa masuk di samping bagi menggantikan pemergian pemain sayap import, Manuel Hidalgo.

Bagi Azrif pula, peluangnya yang semakin terhad bersama Johor Darul Takzim (JDT) menyaksikannya menyertai Sri Pahang FC secara pinjaman untuk semusim.

Setakat ini, dia mula mendapatkan rentak bersama kelab Pantai Timur itu meskipun ada yang masih mempersoalkan kemampuannya.

Ketika ini, Sri Pahang hanya mengumpul empat mata sementara skuad Gergasi Merah sudah sedikit selesa dengan enam mata dikumpulkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram