SUKAN atau perlumbaan go-kart sering dikaitkan dengan aktiviti ekstrem bagi mereka yang suka kepada cabaran dan kelajuan, di samping ingin melepaskan tekanan.
Bagi mereka yang tidak pernah mencubanya, pasti mereka membayangkan ia hanya pusat latihan untuk pelumba profesional, namun aktiviti go-kart adalah permulaan untuk orang ramai dalam mengetahui asas pemanduan kenderaan itu sebelum berjinak-jinak dalam dunia perlumbaan sebenar.
Meskipun ia berada dalam salah satu cabang sukan permotoran, go-kart merupakan aktiviti rekreasi yang juga sesuai untuk disertai semua golongan termasuk kanak-kanak.
Berikut merupakan beberapa tempat untuk anda kunjungi bersama keluarga atau rakan-rakan bagi menyertai sukan ekstrem berkenaan di sekitar Lembah Klang.
Sesuai untuk membawa anak anda merasai sendiri keseronokan aktiviti go-kart. — Facebook
1. City Karting, Shah Alam
Seperti diketahui ramai, City Karting dibuka pada 1997 dan merupakan trek go-kart yang pertama di Malaysia.
City Karting menawarkan tiga jenis go-kart iaitu Double Seater, Regular Kart dan 125cc Kart untuk pengunjung yang berpengalaman atau sebaliknya.
Double Seater sesuai untuk kanak-kanak, berpasangan atau pemula manakala bagi dewasa dan kanak-kanak yang melebihi ketinggian 150 sentimeter (cm) dibenarkan untuk memilih Regular Kart.
Namun begitu, bagi mereka yang berpengalaman dalam aktiviti itu boleh memilih pakej 125cc Kart dengan syarat mempunyai kad ahli.
Lokasi go-kart tersebut terletak di Stadium Seksten 13, Shah Alam, Selangor dan beroperasi pada Isnin bermula pukul 10 pagi hingga 7 petang.
Manakala, Selasa hingga Jumaat bermula dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam serta Sabtu dan Ahad dibuka pukul 9.00 pagi hingga 10.00 malam (termasuk cuti umum).
Harga masuk yang ditawarkan adalah serendah RM50.
Mempunyai kawasan yang luas pasti memberikan pengalaman yang menarik. — Facebook
2. Sepang International Kart Circuit
Sepang International Kart Circuit terletak bersebelahan dengan Litar Lumba F1 Sepang yang menjadikannya salah satu paling popular di Lembah Klang.
Aktiviti Circuit Tour disediakan untuk semua peringkat umur iaitu kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, dewasa dan terdapat juga pakej keluarga iaitu dua orang dewasa dan dua kanak-kanak dibenarkan.
Aktiviti tersebut menawarkan harga yang mampu milik dengan tempoh masa yang berbaloi.
Lokasi terletak di Litar F1 Sepang, Selangor dan beroperasi bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali Isnin.
Pinnacle Kart menjanjikan perlumbaan yang terbaik untuk anda. — Facebook
3. Pinnacle Kart
Pinnacle Kart menyediakan go-kart Sodikart RX8 Siri yang mencapai kelajuan sehingga 70km/jam.
Beralamat di Subang Jaya, Selangor, pusat memandu go-kart itu beroperasi bermula pukul 2 petang hingga 10 malam setiap Isnin dan Khamis.
Manakala, Jumaat bermula dari pukul 3.00 petang hingga 10.00 malam serta Sabtu Ahad bermula dari pukul 12.00 tengah hari hingga 10.00 malam.
Namun begitu, Pinnacale Kart ditutup pada Selasa.
Rehatkan minda anda dengan aktiviti lasak hanya di Blastacars Malaysia. — Facebook
4. Blastacars Malaysia (Kuala Lumpur)
Blastacars Malaysia akan memberikan anda pengalaman baru dengan menuju ke trek sedalam 200m yang terletak di tingkat lima Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur.
Terdapat tiga tetapan kelajuan yang berbeza iaitu Novice, Advance dan Pro. Pro menggunakan mesin Honda 390cc yang mana memerlukan anda mendapatkan lesen sebelum memandu.
Dua pilihan yang tersedia untuk anda pilih supaya boleh mengembangkan kemahiran drift dalam persekitaran yang selamat dan menyeronokkan.
Pusat memandu itu beroperasi dari pukul 1 petang hingga 10 malam setiap Isnin dan Jumaat dan 10 pagi hingga 10 malam pada Sabtu dan Ahad.
Rasai suasana perlumbaan go-kart bersama rakan-rakan di Formula Karting. — Facebook
5. Formula Karting (Petaling Jaya)
Menariknya tentang Formula Karting adalah berdasarkan susun atur trek akan berubah setiap saat yang membuat anda tidak bosan dengan laluan tersebut.
Reka bentuk kart yang selamat dan terjamin supaya orang ramai merasai keseronokan perlumbaan drift dalam persekitaraan yang selamat dan dipantau.
Terletak di tingkat lima Strand Mall, trek go-kart dalaman 500m dengan 19 sudut berbeza.
Lokasi terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor dan beroperasi pada 4.00 petang hingga 11.00 malam setiap Selasa dan Jumaat.
Hari Sabtu dan Ahad (termasuk cuti umum) bermula dari pukul 11.00 pagi hingga 11.00 malam dan Isnin cuti.
Sehubungan dengan itu, antara persediaan awal yang perlu diketahui orang ramai sebelum memandu go-kart ialah mereka wajib memakai kasut dan tidak dibenarkan memakai selipar.
Dari segi pemakaian tidak perlu sut perlumbaan tetapi bertutup atau berseluar panjang kerana aktiviti itu dalam kategori lasak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,