Malaysia Timur bakal terima akses Perkhidmatan Pembedahan dan Anestesia


  • Sihat
  • Jumaat, 03 Mac 2023

Program CSR ini diharapkan dapat mengurangkan jurang perkhidmatan kesihatan dalam kalangan rakyat di negara ini.

INISIATIF daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Persatuan Pakar Bius Malaysia (MSA) serta Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) berganding bahu untuk membangunkan Global Surgery Initiative (GSI) dengan menyediakan akses kepada perkhidmatan pembedahan dan anestesia yang selamat serta berpatutan di kawasan penduduk terabai seluruh Malaysia.

GSI akan dilancarkan secara rasmi pada 15 Februari sempena sambutan Ulang Tahun Ke-60 Persatuan Pakar Bius Malaysia (MSA).

Menurut Presiden MSA, Profesor Dr Ina Ismiarti Shariffudin, sempena dengan Ulang Tahun Ke-60 MSA dan sebagai badan perwakilan kami berbangga untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif yang bermakna, pihaknya berterima kasih atas sokongan yang terus meningkat ke arah memberikan rawatan selamat di kawasan-kawasan terabai.

GSI sudah mengenal pasti kawasan-kawasan tertentu di Malaysia untuk memberi perkhidmatan tersebut, terutamanya Malaysia Timur iaitu negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kerana penularan penyakit yang memerlukan pembedahan, namun tidak dapat dirawat sehingga memberikan kesan negatif terhadap kesihatan manusia, kebajikan dan pembangunan ekonomi.

WhatsApp Image 2023-03-02 at 15.02.54

Dr Noor Hisham (dua dari kiri) berharap sambutan itu dapat menjadi platform perbincangan terbaik.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sambutan Ulang Tahun Ke-60 Persatuan Pakar Bius Malaysia bakal menjadi platform yang hebat untuk membincangkan jurang kesihatan global dan perkongsian ilham bagi penyelesaian inovatif, khususnya dari segi peranan pakar bius untuk membantu membina semula sistem kesihatan yang berdaya tahan di seluruh negara berikutan pandemik Covid-19.

Kini, negara sedang melalui satu tempoh transformasi yang menarik iaitu idea kreatif untuk mengukuhkan penyediaan perkhidmatan pembedahan, anestesia dan obstetrik di hospital luar bandar.

Kementerian Kesihatan mendorong agar semua menyokong inisiatif tersebut bagi meningkatkan akses dan kesaksamaan terhadap perkhidmatan pembedahan dan merapatkan lagi jurang rawatan pembedahan untuk mengutamakan kesihatan semua lapisan masyarakat.

Melalui projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini, dua program jangkauan sudah dirancang dengan program jangkauan pertama akan berjalan seiring dengan Persidangan Pembedahan Global Pertama di Kuching, Sarawak pada Mac dan Julai 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram